Kereta terbakar, pemandu gagal dikesan

Sebuah kereta ditemui terbakar di Jalan Temerloh-Jerantut berhampiran Kampung Paya Keladan malam tadi.
A
A

TEMERLOH- Sebuah kereta ditemui terbakar di Jalan Temerloh-Jerantut berhampiran Kampung Paya Keladan malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kereta jenis Proton Wira musnah 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin Penolong Kanan Penguasa Bomba, Hasnuddin Husin berkata, seramai tujuh anggota dan seorang pegawai serta dua jentera dengan bantuan BBP Temerloh bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian mendapati api sedang marak di kenderaan terbabit di bahu jalan dan tidak melibatkan mangsa.

"Api kemudiannya berjaya dipadamkan kira-kira 15 minit. Pemilik kenderaan gagal dikesan dan tindakan seterusnya diserahkan kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, tindakan pemeriksaan dilakukan untuk mengelakkan punca api berulang sebelum anggota menamatkan operasi.