Rampasan terbesar mercun, bunga api bernilai RM3 juta

Azimah (kiri) menunjukkan sebahagian mercun dan bunga api yang berjaya dirampas JKDM Perak, 27 Disember lalu.
Azimah (kiri) menunjukkan sebahagian mercun dan bunga api yang berjaya dirampas JKDM Perak, 27 Disember lalu.
A
A
A
IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan seberat 20 tan dengan nilai pasaran hampir RM3 juta yang disimpan dalam sebuah rumah mewah di Jalan Lahat Mines, Lahat, 27 Disember lalu.

Operasi sekitar jam 9 malam itu merupakan rampasan terbesar di seluruh negara sepanjang tahun lalu, melibatkan mercun dan bunga api dengan jumlah keseluruhan cukai dianggarkan RM171,262.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Azimah Abd Hamid berkata, kediaman semi D yang terletak dalam kawasan berpagar dan berpengawal itu dipercayai dijadikan stor simpanan sebelum dipasarkan di seluruh negara.

Menurutnya, berdasarkan jumlah bekalan dan jenis mercun yang ditemui, ia dipercayai digunakan untuk sambutan tahun baharu yang lalu dan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang awal Februari nanti.

“Kes kali ini juga agak unik kerana kebiasaan rampasan dilakukan di atas kenderaan atau kontena, tetapi kali ini melibatkan rumah kediaman.

“Ketika pemeriksaan, terdapat 640 kotak disusun di tingkat bawah, keadaan ini bukan sahaja membahayakan pemilik rumah, tetapi juga risiko kepada kawasan kejiranan sekiranya meletup,” katanya pada sidang media, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kastam negeri, Mohd Nordin Abdullah dan Timbalan Pengarah Kastam (Bahagian Penguat kuasa) Kastam Perak, Shahili Ahmed.

Azimah berkata, seorang lelaki yang juga pemilik kediaman berusia 37 tahun telah direman selama lapan hari, bermula 28 Disember lalu untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, lelaki berkenaan sebelum ini tidak mempunyai rekod kesalahan sama, namun berkemungkinan telah bergiat lama dengan mendapatkan bekalan dari negara jiran.
Artikel Berkaitan:


“Kita akan lengkapkan siasatan sebelum pendakwaan dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya.