Terengganu tak gopoh laksana syariah

Satiful menyampaikan sijil pelantikan kepada salah seorang ahli jawatankuasa masjid yang dilantik. - Foto Media ADUN Paka
Satiful menyampaikan sijil pelantikan kepada salah seorang ahli jawatankuasa masjid yang dilantik. - Foto Media ADUN Paka
A
A
A

DUNGUN - Kerajaan Terengganu tidak gopoh melaksanakan syariah Islam di negeri ini sebaliknya akan melakukannya secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya mengambil pendekatan dengan memberi taklimat pendidikan, makluman dan khidmat nasihat kepada rakyat terlebih dahulu.

Katanya, perbincangan meja bulat juga dilakukan dengan mengadakan penerangan dan penjelasan setiap masa.

“Kita mahu mendidik rakyat tahu indahnya syariat Islam, hidup dengan syariat dan suka syariat kerana masyarakat sekarang sudah berubah. Pendekatan yang dibuat juga perlu berubah,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Jawatankuasa Masjid Peringkat Daerah Dungun di Pejabat Agama Daerah Dungun di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan Pegawai Agama Daerah Dungun, Zulkefli Othman.

Selain itu katanya, pihaknya akan mengambil tindakan kepada penunggang motosikal yang membenarkan bukan muhrim membonceng kenderaan mereka.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak akan bertindak sewenang-wenangnya termasuk menangkap atau mengenakan hukuman penjara.

“Kita akan ambil pendekatan dengan nasihat terlebih dahulu, maknanya tidak agresif dan pada masa sama memberi imej yang baik supaya 'musuh' tidak mudah menyerang kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan jawatankuasa masjid yang dilantik tidak membuat perubahan drastik terhadap masjid di bawah pentadbiran mereka.

“Sekarang ini zaman ‘viral’, nanti tak terjawab, jadi berhati-hatilah,” katanya.