PRK Tanjung Piai: Siapa calon PH?

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN - Tarikh 16 November depan akan menjadi detik penting bagi pengundi di Parlimen Tanjung Piai ( P165) apabila akan memilih ahli Parlimen yang akan mewakili suara mereka.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada 1 Oktober lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Hari Penamaan Calon pada 2 November diikuti Hari Pengundian Awal 12 November dan Hari Pengundian 16 November.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kerusi terbabit kekal ditandingi Bersatu mengikut dasar Pakatan Harapan (PH) kerusi yang ditandingi oleh mana- mana parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak akan berubah.

Kenyataan itu kemudiannya disokong Pengerusi DAP Tanjung Piai, Yeo Tung Siong yang menegaskan parti itu tidak akan merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai walaupun sebelum PRU14 ia milik DAP.

Pastinya tumpuan kini tertumpu kepada calon yang bakal diketengahkan PH bagi memastikan kerusi Parlimen Tanjung Piai kekal milik PH.

Tidak kurang empat nama disebut sebagai antara calon PH dengan kelebihan mereka merupakan anak tempatan.

Namun adakah PH sudah benar-benar bersedia berdepan dengan pembangkang UMNO-Pas yang pastinya tidak mahu kalah dengan calon mereka.

Artikel Berkaitan:

Calon berpengalaman pilihan PH?

Jika pengalaman calon menjadi kayu ukur, PH dirasakan tidak kekurangan calon berpengalaman di Tanjung Piai memandangkan antara nama disebut sebagai calon bukan calang-calang.

Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 60, yang juga seorang arkitek antara nama utama yang disebut-sebut sebagai calon PH.

Beliau merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, Pontian sebelum meneruskan pelajaran dalam bidang seni bina seterusnya berkhidmat sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (1980-2000).

Anak tempatan ini juga merupakan penggerak awal Bersatu di Tanjung Piai sebelum PRU14 bersama Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang merupakan timbalan ketua bahagian Bersatu Tanjung Piai.

Pengalaman politik yang cukup luas dalam UMNO sebelum menyertai Bersatu dikatakan antara kelebihan di miliki Karmaine yang pernah bertanding dalam PRU14 di Parlimen Pontian menentang Datuk Seri Ahmad Maslan (BN).

Walaupun tewas pada PRU14 dengan undi majoiriti 833 undi, Karmaine dilihat terus aktif membantu masyarakat dan seterusnya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) awal tahun ini.

Seterusnya Ketua Bersatu Bahagian Pontian, Zulkifly Tasrep, 53, antara yang disebut sebagai calon PH pada PRK Tanjung Piai.

Zulkifly bekas pegawai bank bukan nama asing bagi penduduk tempatan memandangkan terdapat nama kampung sempena nama Allahyarham bapanya iaitu Parit Tasrep di Tenggayun yang terletak di dalam Parlimen Tanjung Piai.

Memandangkan daerah Pontian memiliki dua Parlimen iaitu Pontian dan Tanjung Piai, tidak timbul isu calon rentas sempadan jika Zulkifly dipilih memandangkan pada PRU14 Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini bertanding di Parlimen Pontian.

Ibu Allahyarham Dr Farid calon PH?

Ibu Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, Norma Mohamad, 67, juga disebut sebagai antara calon PH.

Norma yang mesra dengan sapaan Mak Ne merupakan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Tanjung Piai dan antara individu penting yang menubuhkan Bersatu di Tanjung Piai.

Mak Ne juga merupakan bekas ketua wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai.

Mak Ne antara individu penting membantu Allahyarham anaknya yang merupakan seorang doktor pakar bius berkempen pada PRU lalu.

Pengalaman politik cukup luas dimiliki Mak Ne mungkin menjadi kelebihan dan tidak mustahil calon wanita menjadi taruhan PH.

Norma, Karmaine, Zulkifly, Darwis
Norma, Karmaine, Zulkifly, Darwis

Calon muka baharu

Jika nama-nama besar dalam kepimpinan Bersatu di peringkat bahagian menjadi tumpuan tidak kurang calon muka baharu turut disebut sebagai calon PH.

Darwis Salleh, 56, merupakan muka baharu yang berkecimpung sebagai profesional perunding dan pengurus syarikat tempatan dan asing.

Menariknya Darwis yang juga Ketua Bersatu Cawangan Pekan Nanas merupakan abang kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh dari BN (2013- 2018).

Kelebihan sebagai anak tempatan selain bergiat aktif dalam Majlis Belia Daerah sebagai Yang Dipertua pada 1980 serta pernah menjadi pembantu khas kepada Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awan negeri Johor (1986- 1990).

PH perlu calon tawan hati pengundi

Biarpun ramai yang beranggapan isu nasional akan menjadi tumpuan pada PRK Parlimen Tanjung Piai, namun keluhan pengundi di Tanjung Piai juga amat penting untuk didengar oleh calon.

Isu tempatan seperti jalan raya, peluang pekerjaan, nelayan dan perumahan antara yang perlu diberi perhatian.

Justeru PH perlu memastikan calon yang diletakkan kelak mampu mendengar permasalahan rakyat seterusnya menawan hati mereka.

Teka- teki mengenai calon terus bermain dalam kalangan rakyat di Tanjung Piai yang menanti calon sebagaimana kejutan yang dibuat PH pada PRU14 lalu.

Kejutan yang dimaksudkan, PH menerusi Bersatu meletakkan seorang doktor pakar bius yang merupakan kelahiran Serkat berusia berusia 42 tahun menjadi calon Parlimen Tanjung Piai.

Ternyata kejutan PH pada PRU14 meletakkan Dr Farid 'mengena' apabila kerusi Parlimen Tanjung Piai dimenangi Bersatu.

Mungkinkah PH akan mengulangi kejutan meletakkan calon muda dan profesional yang dibuat pada PRU14 lalu?

Info

Parlimen Tanjung Piai ( P165) memiliki 2 DUN iaitu Kukup dan Pekan Nanas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 ( PRU-14) lalu, Md Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memenangi kerusi parlimen itu dengan majoriti 524 undi dengan menewaskan Datuk Seri Wee Jeck ( BN- MCA) dan Nordin Othman (Pas).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai nemiliki 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14, dengan komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.