Mesyuarat Amanah Kluang kecoh

Video tular berhubung pergaduhan tersebut.
Video tular berhubung pergaduhan tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Mesyuarat Parti Amanah Kawasan Kluang, Johor yang berlangsung di sebuah hotel pada malam Rabu lalu bertukar kecoh susulan satu insiden pergaduhan.

Seorang ahli Amanah kawasan Kluang yang enggan mendedahkan namanya mengakui, mesyuarat tersebut bertukar tegang apabila berlaku perselisihan faham mengenai isu pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kawasan.

“Perkara ini berlaku kerana ada perbalahan mengenai soal pemilihan AJK kawasan. Ada yang dakwa pemilihan telah disusun pihak tertentu tanpa persetujuan cawangan-cawangan, ” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, dalam mesyuarat sama beberapa ketua cawangan dalam kawasan Kluang juga menuntut untuk membatalkan pemilihan terbabit namun tidak diendahkan.

Dalam pada itu, satu video berdurasi 29 saat mengenai insiden pergaduhan tersebut tular di media sosial sejak malam tadi.

Menerusi video itu, seorang lelaki yang mengenakan baju warna jingga dilihat menjerit menyuruh beberapa ahli supaya balik daripada mesyuarat tersebut.

Seorang lagi lelaki memaki baju warna hitam dilihat menolak meja dan menghempas kerusi di dalam bilik mesyuarat itu.

"Peti undi masuk tau. Kau jangan main gila dengan aku.

Artikel Berkaitan:

"Balik laa balik, nanti masuk hospital. Aku cakap mesyuarat ni berhenti, berhenti!," kedengaran suara seorang lelaki daripada kumpulan yang mencetuskan pergaduhan pada mesyuarat itu.

Berdasarkan pencarian Sinar Harian di Facebook, mesyuarat Amanah Kawasan Kluang tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Aminolhuda difahamkan sempat membuat ucapan perasmian sebelum itu berdasarkan video dan foto sekitar program yang dimuat naik di akaun Facebook, Wartawan Rakyat Page.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sewaktu pergaduhan itu, Aminolhuda yang juga Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri Johor masih berada di situ atau sudah pulang.

Pada September lalu, Amanah Pusat mengarahkan sebanyak 655 cawangan dan 81 kawasan termasuk sayap Pemuda dan Wanita mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan semula selepas mesyuarat sebelum ini tidak sah.

Difahamkan, isu itu berbangkit kerana kelemahan pengurusan Amanah di peringkat ibu pejabat yang tidak meneliti atau menyerahkan minit-minit mesyuarat daripada pelbagai peringkat parti kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Sinar Harian sedang cuba mendapatkan penjelasan daripada pemimpin utama parti itu susulan insiden pergaduhan terbabit.