Iraq berkabung tiga hari

Seorang penunjuk perasaan mengibarkan bendera Iraq ketika tunjuk perasaan membantah masalah rasuah dan pengangguran di Baghdad pada 5 Oktober lalu.- Foto: AFP
A
A

BAGHDAD - Iraq berkabung selama tiga hari bermula hari ini untuk lebih 100 orang yang terbunuh ketika protes baru-baru ini dan kerajaan dijangka melakukan rombakan Parlimen susulan krisis politik yang melanda.

Bendera dikibarkan setengah tiang bagi menghormati mereka yang kehilangan nyawa susulan protes ganas yang berlaku bagi membantah isu rasuah dan juga pengangguran yang membelenggu negara berkenaan.

Mereka yang terbunuh termasuk penunjuk perasaan dan polis diisytihar syahid dan keluarga mereka akan menerima pampasan.

Dalam pada itu laman media sosial di Iraq masih tidak dapat diakses kecuali melalui aplikasi rangkaian peribadi maya (VPN), namun imej yang muncul menunjukkan kebanyakan penunjuk perasaan maut akibat terkena peluru hidup.

Pihak berkuasa pada mulanya menyalahkan 'penembak hendap tidak dikenali' dan 'pensabotaj' namun kemudian mengakui bahawa pihak tentera bertindak ganas di bandar Sadr, Baghdad.

Badan kehakiman turut mengumumkan seorang polis antirusuhan mengaku membunuh seorang penunjuk perasaan di Hilla, selatan Baghdad.

Sementara itu, Perdana Menteri, Adel Abdel Madhi berikrar akan mencadangkan rombakan Parlimen yang bergantung kepada penyertaan blok terbesar terdiri daripada 54 ahli Parlimen diketuai ulama, Moqtada al-Sadr.

Blok tersebut termasuk menteri namun Sadr menggesa pengunduran kerajaan hampir seminggu yang lalu.

Sejak protes dan keganasan dilihat tenang, kerajaan telah mencadangkan perubahan untuk menurunkan kadar pengangguran anak muda yang kini berada pada 25 peratus sementara Kementerian Buruh mencadangkan pendaftaran kerja dalam talian.

Kerajaan juga dilaporkan mengarahkan bantuan perumahan diberikan kepada yang layak.

Dalam pada itu, penduduk Baghdad dilaporkan kembali menjalani rutin harian, sekolah dan pejabat kerajaan serta premis perniagaan juga kembali beroperasi.

Namun di pos kawalan memasuki bandar dan jalan utama, kenderaan masih perlu menjalani pemeriksaan dan pasukan tentera tambahan turut dikerah. - AFP