Pembangunan bersepadu stesen kereta api jadikan Ipoh bandar transit

Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim berkenan bergambar ketika berangkat pada Majlis Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) 2 dan Pelan Pembangunan Stesen Kereta Api Ipoh semalam. - Foto Bernama
Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim berkenan bergambar ketika berangkat pada Majlis Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) 2 dan Pelan Pembangunan Stesen Kereta Api Ipoh semalam. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Ipoh bakal membangun sebagai pintu gerbang kepada kawasan tengah Semenanjung Malaysia menerusi Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh yang dijangka siap dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, usahasama digerakkan kerajaan Perak melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan kementerian menerusi Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu akan mewujudkan pembangunan bersepadu berorientasikan transit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM5 bilion.

Menurutnya, kawasan dianggarkan 77.6 hektar di sekitar stesen dan jajaran kereta api di Ipoh telah dikenal pasti sebagai lokasi bagi pelaksanaan projek itu.

"Pembangunan di kawasan ini telah dipecahkan mengikut segmen tertentu bagi memastikan pembangunan yang dirancang seimbang dan komprehensif, merangkumi kawasan perumahan, hotel, institusi pendidikan, pembangunan bercampur, komersial dan kawasan hijau.

"Segmen komersial dan hub pengangkutan masing-masing membawa kepada 25 dan 23 peratus daripada jumlah keseluruhan pelan pembangunan.

"Segmen kediaman termasuk rumah mampu milik di kawasan pembangunan pula merangkumi 16 peratus daripada keluasan yang diperuntukan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pengenalan Perkhidmatan Koc Kelas Perniagaan Bagi Perkhidmatan Tren Elektrik Terbaru, ETS2 dan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh semalam.

Majlis disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang turut berkenan mencemar duli menggunakan pengangkutan itu dari Stesen Kereta Api Kuala Lumpur ke Ipoh.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Anthony berkata, pemilihan bandar Ipoh dibuat setelah mengambil kira kewujudan Stesen Kereta Api Ipoh sejak 1917 sebagai nadi utama kewujudan hub pengangkutan di dalam pelan induk ini.

Katanya, di Perak sahaja, ETS melintasi 14 stesen dari Tanjung Malim hingga Parit Buntar dan pada tahun lalu, seramai 627,444 penumpang direkodkan menggunakan perkhidmatan itu melalui Stesen Keretapi Ipoh.

"Melalui kerjasama strategik ini, usaha untuk memulih dan menghidupkan semula Stesen Kereta Api Ipoh melalui pembangunan berasaskan transit bakal meningkatkan nilai hartanah dan merancakkan aktiviti komersial di kawasan sekitar.

"Penjanaan hasil yang diperolehi daripada aktiviti komersial ini kelak akan digunakan untuk membiayai projek pembangunan dan pembangunan semula sektor perkeretapian negara," katanya.

Beliau berkata, kementerian melihat pelan pembangunan sama turut berpotensi untuk dibangunkan di negeri-negeri lain sepanjang laluan kereta api.

"Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga berpotensi," katanya.