Tidak berlaku lambakan pelajar sekolah biasa

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik beramah mesra bersama para murid Tahun Satu ketika melakukan tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2019 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) hari ini. -Foto Bernama
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik beramah mesra bersama para murid Tahun Satu ketika melakukan tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2019 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Dasar kerajaan yang memberi keutamaan penempatan golongan kumpulan berpendapatan rendah (B40) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tidak akan menyebabkan lambakan pelajar di sekolah harian biasa, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

"Perkara ini tidak menjadi isu kerana setiap sekolah mempunyai kuota kemasukan masing-masing,” katanya selepas mengadakan tinjauan hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 14 (1) di sini hari ini.

Seramai 465,411 murid Tahun Satu dan kira-kira 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah mendaftar pada sesi persekolahan 2019 di seluruh negara.

Maszlee berkata kerajaan memutuskan untuk mengembalikan semula semangat SBP dengan membantu pelajar berpotensi golongan B40 selari dengan dasar kerajaan baharu untuk menyediakan kemudahan pendidikan berkualiti.

Pada Disember lepas, Kementerian Pendidikan mengumumkan sehingga 60 peratus daripada keseluruhan penempatan di SBP diperuntukkan kepada pelajar dalam kalangan golongan B40 bagi sesi persekolahan tahun 2019.

Kementerian itu berkata tawaran ke tingkatan satu di SBP bagaimanapun mengambil kira beberapa faktor lain seperti pemilihan sekolah oleh pemohon, kapasiti enrolmen sesebuah sekolah, jantina dan lokaliti pemohon.

Maszlee berkata penempatan itu bukan sekadar kepada B40 semata-mata tetapi juga menumpukan kepada golongan miskin kota.

“Seperti anak anggota beruniform yang berpangkat rendah kita beri peluang kepada anak mereka (yang layak) untuk bersekolah di asrama penuh seterusnya dapat tingkatkan ekonomi apabila mereka berjaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Maszlee berkeyakinan pelajar cemerlang akan sentiasa berjaya di mana-mana sekolah walaupun tidak mendapat tempat di SBP.

"Mengikut pengalaman, saya lihat pelajar cemerlang walaupun di sekolah kampung (luar bandar), pun akan cemerlang dengan berkat didikan guru dan ibu bapa," katanya.

Ditanya sama ada Kementerian Pendidikan bercadang menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Maszlee berkata, pihaknya tidak bercadang berbuat demikian namun mengharapkan pihak PIBG mengadakan perbincangan sebelum menetapkan yuran itu.

Mengulas laporan media berhubung jenayah akademik sehingga sanggup mengupah pihak ketiga bagi menyiapkan tugasan dan laporan universiti sehingga selesai, Maszlee menegaskan pihaknya tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah akademik dan amalan plagiat. - Bernama