YWJ mahu angkat zapin ke UNESCO

Mohd Khuzzan (kanan) dan Sharil pada sidang media di sini semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Yayasan Warisan Johor (YWJ) giat menjalankan usaha memartabatkan seni tarian zapin ke peringkat antarabangsa melalui penyenaraian Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzza Abu Bakar berkata, pihak WYJ mengambil masa lima tahun bagi menyempurnakan proses dokumentasi berkaitan zapin di negeri ini sebelum menyerahkan surat kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berhubung hasrat tersebut ada Festival Hujung Medini yang bakal berlangsung Sabtu ini.

"Kita biasa dengar Zapin Tenglu tapi jarang dengar zapin Padang Sari, Putar Alam dan banyak lagi, ada 18 jenis (zapin) sebab itu kita nak angkat zapin ini sebagai warisan Johor.

"Pada 12 Oktober ini, sempena Festival Hujung Medini, kita akan serah satu surat kepada kementerian bagi menyatakan hasrat kita untuk dijadikan zapin ini seni warisan yang diiktiraf UNESCO," katanya kepada pemberita pada sidang media di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah YWJ, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, pengiktirafan UNESCO penting dalam menjadikan zapin itu sebagai satu warisan dan budaya negeri ini.

"Kita ada 18 jenis zapin contohnya Pekajang, Tenglu, Boris, Padang Sari, Putar Alam dan sebagainya. Kalau nak jadikan satu warisan dan budaya, kita perlu pergi ke peringkat antarabangsa sebab itu kita perlu pengiktirafan daripada UNESCO.

"Warisan yang sangat berharga. Tarian zapin ini juga melibatkan sejarah antara Johor dengan Turki yang diterjemahkan boleh dilihat dalam tarian," katanya.