Jho Low boleh atur pertemuan dengan tokoh terkemuka dunia

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low boleh mengatur pertemuan dengan beberapa tokoh terkemuka dunia.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MBD), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata kepada Mahkamah Tinggi hari ini, berdasarkan kepada pemerhatian beliau, Jho Low mempunyai hubungan peribadi dengan beberapa tokoh terkemuka dunia.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada hari ke-20 perbicaraan kes membabitkan dana 1MDB.

Muhammad Shafee: Jho Low menggunakan akses ‘orang dalam’ semasa mengatur pertemuan?

Shahrol Azral: Berdasarkan pemerhatian saya, Jho Low mempunyai hubungan peribadi dengan mereka ini, jadi saya tidak tahu dia menggunakan akses ‘orang dalam’.

Muhammad Shafee: Jho Low mungkin mempunyai hubungan langsung tetapi dia mendekati orang-orang ini melalui akses ‘orang dalam’, jadi perkara ini memudahkan pertemuan sebenar?

Shahrol Azral: Ya, betul.

Muhammad Shafee: Kamu juga tahu yang Jho Low boleh mengatur pertemuan antara Najib dan Almarhum Raja Arab Saudi, Abdullah Abdulaziz Al Saud.

Artikel Berkaitan:

Shahrol Azral: Ya.

Saksi itu juga bersetuju bahawa Jho Low kenal CEO Mubadala, Khaldoon Al Mubarak.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini. - Bernama