Tiada belanjawan alternatif, kata KJ

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) tidak akan mengeluarkan belanjawan alternatif pada tahun ini, kata Jawatankuasa Portfolio (JKP) Kewangan Ahli Parlimen BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, BN akan fokus memberi respon kepada belanjawan yang akan dibentangkan esok.

“Amalan bajet respons atau ‘opposition reply’ seperti yang dilakukan di negara berparlimen lain akan memberi fokus kepada kritikan membina.

“Ia juga akan memberi fokus kepada penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan semak dan imbang dalam amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

“Proses ini akan dijalankan oleh semua Ahli Parlimen BN mengikut kluster yang telah diwujudkan sebelum ini menerusi perbahasan yang akan bermula minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tahun lalu, Ahli Parlimen Rembau itu mewakili BN membentangkan Inisiatif Ekonomi Rakyat, satu ‘belanjawan bayangan’ 2019.

Antara cadangan dibentangkan ialah mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar tiga peratus.

Pagi tadi, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pembangkang tidak akan membentangkan bajet bayangan pada tahun ini kerana polisi dan masalah yang dibentangkan mereka tahun lepas masih lagi sah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pembangkang bukan seperti kerajaan yang perlu bentangkan belanjawan setiap tahun.

“Kita sebagai pembangkang, jadi bajet kita dari segi dasarnya dikira sah selama dua tahun. Kerajaan perlu bentang setiap tahun kerana dia kena tahu jumlah yang diperlukan," katanya.