Polis sahkan DNA mangsa rentung di Sungai Lembing

Laporan Sinar Harian 31 Ogos lalu.
A
A

KUANTAN - Polis mengesahkan spesimen tisu yang ditemui di sebuah rumah dalam kebakaran membabitkan 32 bangunan di Pekan Sungai Lembing pada 31 Ogos lalu adalah lelaki.

Lelaki berkenaan dikenali sebagai Ho Yok Fun, 74, yang sebelum ini hilang dalam kebakaran dan pencarian dilakukan dengan bantuan unit anjing K9, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Assiten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, keputusan itu diketahui selepas Jabatan Kimia Petaling Jaya, Kuala Lumpur menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap spesimen yang diperoleh itu.

"Kita sudah dapat laporan DNA dan mendapati spesimen tisu yang dijumpai adalah ayah kandung kepada Ho Shia Fei," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Noor berkata, semua tulang termasuk serpihan yang dijumpai di lokasi kejadian diserahkan kepada waris untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri warga emas terperangkap dalam kebakaran membabitkan 20 premis perniagaan, 11 rumah dan sebuah perpustakaan awam musnah dalam kebakaran di pekan Sungai Lembing kira-kira jam 1.30 pagi 31 Ogos lalu.

Bagaimanapun hanya isteri, Chow Kim Mui, 70, ditemukan rentung pada jam 5.50 manakala Yok Fun tidak ditemukan sehingga pencarian dihentikan 3 September lalu.

Bagaimanapun, pada keesokan hari polis membuat kenyataan tidak menolak kemungkinan mayat yang masih tidak ditemukan ialah pasangan suami isteri terbabit yang rentung secara bersama dalam keadaan berpelukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua mangsa terperangkap dalam kebakaran 31 premis

Seorang mangsa kebakaran ditemukan rentung

Gerakan cari seorang lagi mangsa kebakaran diteruskan

Pasangan maut kebakaran sibuk buat persiapan kahwin anak

Sebulan ketahui keputusan DNA kebakaran Sungai Lembing