Isu Akhyar, apa salah JDT?

Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim
A
A
A

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkata, terdapat klausa dalam peraturan bola sepak menyatakan seorang pemain boleh meninggalkan pasukan pada akhir musim.

Menurutnya, mengikut klausa tersebut, semua itu berlaku sekiranya atas kehendak pemain tersebut dengan mengikut prosedur tertentu.

Tunku Mahkota Johor turut mempersoalkan apakah kesilapan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menandatangani Akhyar Rashid selepas ada pengumuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa pemain itu dibenarkan menjadi ejen bebas.

"Apabila terdapat laporan bahawa Akhyar Rashid sedang berusaha untuk menamatkan kontraknya dengan Kedah dan sedang menunggu keputusan FAM selepas Kedah tidak mengendahkan permintaannya untuk membincangkan perkara tersebut, kami menyatakan bahawa kami hanya akan mendekati Akhyar apabila beliau telah meninggalkan kelab tersebut dan merupakan ejen bebas.

"Jadi, apakah kesilapan JDT untuk menandatangani Akhyar selepas ada pengumuman oleh FAM bahawa beliau dibenarkan menjadi ejen bebas?," katanya seperti dipetik dalam satu posting di laman Facebook JOHOR Southern Tigers di sini hari ini.

Tunku Ismail berkata, jika hari ini Safawi Rasid datang kepadanya dan mengatakan mahu menebus kontrak dan meninggalkan JDT, beliau akan terima dengan hati yang terbuka.

"Saya tidak boleh kecewa dengannya atau pasukan yang hendak mendapatkan pemain tersebut. Kenapa? Kerana ini bermakna kelab tidak menjaga pemain tersebut dengan baik sehingga mendorong pemain tersebut untuk berhijrah.

"Saya hanya boleh menyalahkan diri sendiri dan kelab ini kerana tidak dapat menjaga pemain dengan baik. Saya akan melihatnya sebagai satu kegagalan kami kerana mungkin kami ada melakukan kesilapan. Sekarang, Kedah menyalahkan orang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Kedah boleh meneruskan hasrat untuk membawa Akhyar atau JDT ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

"Pertama, anda tidak faham peraturan. Kedua, anda menyalahkan orang lain untuk kelemahan anda sendiri," katanya.