'Mungkin rezeki saya dengan Foodpanda hanya setakat ini'

Gambar tular di media sosial semalam.
Gambar tular di media sosial semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - “Saya kecewa dengan skim gaji baharu diperkenalkan Foodpanda, mungkin rezeki saya dengan Foodpanda hanya sampai setakat ini."

Itu reaksi penghantar makanan Foodpanda Cawangan Seremban, Mohd Asrol Nizam Mohidin, 24, ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, skim gaji baharu yang berkuat kuasa 1 Oktober baru-baru ini turut disifatkan tidak wajar dan tidak relevan dengan keadaan sekarang.

Mohd Asrol Nizam berkata, skim gaji baharu yang diperkenalkan adalah berdasarkan kepada pesanan yang dihantar oleh penghantar makanan.

“Jika sebelum ini dengan skim gaji lama, walaupun saya bertugas secara separuh masa dan hanya bekerja selama empat hingga enam jam setiap hari tetapi dalam tempoh sebulan saya dapat mengumpul sehingga RM1,200.

“Sungguhpun kami diberikan insentif sebanyak RM100 jika bekerja selama 60 jam seminggu tetapi jumlah berkenaan tidak memadai dan masih tidak mampu menyamai pendapatan berdasarkan skim gaji lama,” katanya.

Tambahnya, sebagai penghantar makanan Foodpanda dia terpaksa menanggung sendiri kos minyak dan penyelenggaraan motosikal.

Pada masa sama Mohd Asrol Nizam berkata, walaupun tidak sampai setahun bekerja dengan syarikat berkenaan dia berpuas hati dengan skim gaji yang lama.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi keadaan sekarang sungguh berbeza dan mungkin rezeki saya dengan Foodpanda hanya sampai setakat ini.

“Saya tak nak komen banyak cuma saya nak ucapkan terima kasih Foodpanda kerana tidak hargai rider. Kami bertungkus lumus menghantar pesanan pelanggan, sanggup redah hujan panas dan tidak tidak pernah minta tuntutan duit minyak namun akhirnya ini balasan yang diberikan pihak atasan,” kongsinya.

Sementara itu di Georgetown, skim pembayaran baharu yang diperkenalkan Foodpanda dilihat tidak memberi kesan kepada mereka yang bergelar senior sebaliknya terkesan kepada penunggang baharu.

Muhamad Haniff Abdul Roni, 26, berkata, bagi dirinya yang kini sebagai penunggang kumpulan awal 'batch 1', skim baharu itu tidak menjejaskan pendapatannya sebagai penunggang Foodpanda sepenuh masa.

Menurutnya, tambahan pula, setiap penunggang boleh memilih jam kerja sendiri mengikut kesesuaian waktu mereka.

"Bagi saya, skim baru ini tak ada masalah. Sama saja iaitu RM7 untuk setiap jam. Elaun pula, ikut 'batch'. Mungkin yang terasa dengan skim baru ini, 'batch' yang baru iaitu batch 6 dan 5.

"Ini pendapat peribadi saya, saya tidak pasti jika ada penunggang lain yang merasakan skim baru ini tidak sesuai," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan penghantar makanan syarikat atas talian itu melancarkan mogok sebagai membantah pelaksanaan skim pembayaran baharu diperkenalkan syarikat itu kepada semua penunggangnya di luar Lembah Klang.

Perkara itu kemudiannya mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman dan kemudiannya mengatur satu sesi dialog bersama kakitangan Foodpanda di kediamannya di Petaling Jaya.

Semalam turut tular gambar di media sosial segelintir rider Foodpanda terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pekerjaan itu.