Tarif air dijangka naik tahun hadapan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) Air dijangka dapat dilaksanakan pada tahun hadapan selepas diluluskan Kabinet, kata Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Beliau berkata, melalui pelaksanaan itu pelarasan tarif yang dicadangkan adalah minimum iaitu melibatkan kenaikan antara 0.06 sen hingga 0.71 sen bagi setiap 1,000 liter, iaitu lebih rendah jika dibandingkan dengan bayaran utiliti lain seperti elektrik, gas dan telekomunikasi.

"Bagi menjamin supaya pelaksanaan TSM tidak membebankan isi rumah berpendapatan rendah, kerajaan akan memastikan kenaikan minimum dilakukan kepada jalur penggunaan antara 0-20 meter padu. Hal ini kerana penggunaan air dalam jalur itu adalah mewakili 47.8 peratus pengguna domestik di Malaysia," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mansor Othman (PH-Nibong Tebal) yang ingin tahu langkah kerajaan memastikan pelaksanaan kadar baru tarif air tidak membebankan rakyat dan kenaikan tarif juga adalah sejajar dengan peningkatan mutu dan kualiti perkhidmatan bekalan air.

Purata kadar tarif air pada masa ini adalah rendah iaitu RM1.38 bagi setiap 1,000 liter berbanding kos sebenar iaitu RM2.31 bagi setiap 1,000 liter.

"Tarif yang tidak melambangkan kos sebenar ini telah melemahkan kemampuan kewangan operator air dan berisiko menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada pengguna," jelasnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: