Dua syarikat akibatkan kematian pekerja didenda RM40,000

Wakil Noble Distinction (M) Sdn Bhd danTelaga Setia Sdn Bhd masing-masing mengaku salah gagal menyediakan prosedur kerja selamat hingga mengakibatkan kematian pekerja tiga bulan lalu.
Wakil Noble Distinction (M) Sdn Bhd danTelaga Setia Sdn Bhd masing-masing mengaku salah gagal menyediakan prosedur kerja selamat hingga mengakibatkan kematian pekerja tiga bulan lalu.
A
A
A

IPOH - Dua syarikat kontraktor masing-masing didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah gagal menyediakan prosedur kerja selamat hingga mengakibatkan kematian pekerja tiga bulan lalu.

Noble Distinction (M) Sdn Bhd dan Telaga Setia Sdn Bhd melalui wakil masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, Noble Distinction (M) Sdn Bhd diwakili Eksekutif Pentadbiran, Cheong Kar Lai, 33, didakwa gagal mengadakan kerja selamat untuk memantau keadaan bukit ketika kerja-kerja dijalankan di kawasan kaki bukit terutama selepas aktiviti peletupan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kawasan kuari di Kampung Kepayang sekitar jam 7.20 pagi pada 1 Julai lalu.

Kegagalan itu telah menyebabkan seorang pemandu excavator, Loi Thiam Fatt, 56, maut dihempap runtuhan batu bukit ketika menjalankan kerja-kerja mengisi batu-batu yang dipecahkan dalam lori.

Sementara itu, Telaga Setia Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Chia Weng Chuen, 50, didakwa gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja pemasangan sistem solar PV di atas bumbung sehingga menyebabkan kemalangan seorang pekerjanya, warga Bangladesh, Rabin Khandaker, 28.

Kesalahan itu dilakukan di bumbung kilang Choo Bee Metal Industri Sdn Bhd di Kawasan Perusahaan Pengkalan, Lahat kira-kira jam 8.50 pagi pada 12 Julai lalu.

Rabin yang sedang memasang struktur mounting bagi panel solar PV terjatuh dari bumbung bangunan pada ketinggian 9.9 meter dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.45 malam hari sama di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua syarikat didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM40,000 bagi setiap pertuduhan atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Fazira Azita Abdul Rashid sementara kedua-dua syarikat tidak diwakili peguam.