Motac optimis capai sasaran jana pendapatan RM92 bilion: Mohamaddin

Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) optimis sektor pelancongan negara mampu menjana hasil pendapatan RM92 bilion berdasarkan jumlah ketibaan pelancong asing yang dijangka menjangkau 28.1 juta pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, sehingga Julai lepas, jumlah ketibaan pelancong asing ke negara ini meningkat 4.9 peratus iaitu hampir 16 juta orang pelancong berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kita masih ada lima bulan, kemuncaknya semakin hampir. Saya rasa kita akan dapat bawa ramai pelancong asing dalam tempoh ini, mungkin boleh mencapai 30 juta orang, kemungkinan tetap ada tapi kita letakkan sasaran 28.1 juta pelancong antarabangsa tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis ‘Corporate Travel Bazaar (CTB) 2019’ di sini hari ini.

Mohamaddin berkata, menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020), segala persiapan sudah lengkap dan pihaknya hanya menunggu pelaksanaan kempen berkenaan pada tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai isu lambakan songket tiruan yang dibungkus semula dan dijenamakan songket tempatan, Mohamaddin berkata, pengguna perlu bijak mengenal pasti kualiti produk itu.

“Dari segi langkah pengawalan aktiviti penjualan, ia adalah di bawah bidang kuasa KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan di pihak kementerian, kami hanya boleh menggalakkan penjual menurunkan sedikit harga songket tempatan serta melakukan galakan dan promosi bagi meningkatkan produk tempatan,” katanya.

Pada awal tahun ini, media melaporkan kebimbangan pengusaha songket Terengganu terhadap lambakan songket tiruan dalam pasaran yang jauh lebih murah berbanding songket asli menyebabkan permintaan terhadap songket asli semakin berkurangan.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, program CBT 2019 edisi ketujuh yang diperkenalkan tahun ini melibatkan pertemuan dua hala berkonsepkan perniagaan ke perniagaan (B2B) antara pengusaha pelancongan dan pembeli bagi mempromosikan produk pelancongan sektor awam dan swasta.

Artikel Berkaitan:

“Program ini telah berjaya mendapatkan penyertaan seramai 120 penjual dan 400 pembeli dengan sasaran nilai keseluruhan penjualan pakej RM800,000. Ini juga selari dengan kempen VM2020 yang mana mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancong dalam dan luar negara,” katanya. - Bernama