'Sebelum nak kata saya kurang cerdik itu fikir dua tiga kali' - Ahmad Maslan

Teresa Kok, Ahmad Maslan
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat hari ini 'diceriakan' dengan kenyataan saling menyindir di antara pemimpin pembangkang dan menteri ketika sesi perbahasan berlangsung.

Pada sesi sebelum dewan berhenti berehat tadi, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) saling membalas sindiran Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

"lni soalan yang kurang bijak tapi saya akan jawab dengan bijaknya," demikian sindir Teresa.

Sindiran Teresa itu susulan pertanyaan Ahmad yang bertanyakan kenapa pada 1 April 2018 tiada data harga komoditi direkodkan sedangkan ketika hari itu rakyat masih bekerja dalam bidang berkenaan.

Menjawab sindiran berkenaan, Ahmad berkata, "Sebelum nak kata saya kurang cerdik itu fikir dua tiga kali."

Jelas Ahmad, pada tarikh berkenaan misalnya di Johor peneroka masih bekerja meskipun pada tarikh berkenaan jatuh pada hari Ahad.

"Rakyat pada 1 April tetap menoreh getah, bekerja di ladang sawit mereka terus bekerja misalnya di Johor bekerja pada Ahad jadi saya rasa tak betul kerana pada hari Ahad ada yang masih bekerja," katanya.

Menjawab kenyataan berkenaan, Teresa berkata, Ahmad sebagai bekas timbalan menteri seharusnya memahami keadaan demikian.

"YB sebagai yang bekas timbalan menteri (Kewangan) sepatutnya kena tanya dengan bijaklah," katanya.

Terdahulu, Teresa ketika sesi perbahasan berkata pada 1 April 2018, tiada data harga komoditi direkodkan memandangkan tarikh tersebut jatuh pada hari Ahad.