Warga emas maut dirempuh jentolak

Pegawai JKKP (kanan) menjalankan siasatan pada jentolak yang teribat dalam kemalangan yang mengorbankan seorang warga emas.
Pegawai JKKP (kanan) menjalankan siasatan pada jentolak yang teribat dalam kemalangan yang mengorbankan seorang warga emas.
A
A
A

SERI ISKANDAR - Seorang warga emas lelaki berusia 64 tahun maut dilanggar jentolak di sebuah kilang kelapa sawit di Bota di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi itu, mangsa, Chai Ming Poi, yang mengalami kecederaan parah telah menerima rawatan di Hospital Seri Manjung sebelum disahkan meninggal dunia.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan pelanggan yang ingin membeli sisa buangan daripada kelapa sawit.

“Mangsa telah dilanggar oleh jentolak yang sedang dipandu secara mengundur dalam kawasan kilang tersebut. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan jam 4.50 petang.

“Sehubungan itu, JKKP telah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan ke atas kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, lapan notis larangan kepada pemilik premis melibatkan kegagalan memastikan lapan jentolak diselenggara dengan baik.

“Selain itu, lima notis perbaikan dikeluarkan di mana pemilik premis diminta untuk mengadakan sistem kerja selamat bagi pengurusan trafik dan taklimat keselamatan kepada pihak luar.

“Tanggungjawab majikan bukan hanya memastikan pekerja bekerja dengan selamat dan sihat malah perlu memastikan orang lain selain daripada pekerja tidak terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan akibat dari aktiviti perusahaan yang dijalankan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zamzurin berkata, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.