PDRM nafi Jho Low dilindungi AS

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador
A
A

GEORGETOWN - Polis menafikan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berada di Los Angeles Amerika Syarikat (AS) seperti dilaporkan sebuah media antarabangsa bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis percaya individu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih berada di sebuah negara dengan mendapat perlindungan dari negara tersebut.

Menurutnya, pihaknya sedang berunding dengan pihak berkuasa negara itu untuk membawa Jho Low ke negara ini.

"Buat masa ini saya tidak boleh mendedahkan negara yang kita percaya beliau ada di situ. Tetapi saya yakin dia masih bersembunyi dan mendapat perlindungan dari negara tersebut. Bagaimanapun saya masih berunding dengan pihak berkuasa negara itu untuk membawa balik Jho Low.

"Saya tak jangka lah Jho Low selicik itu boleh menyelinap masuk ke AS kerana secara logiknya kawalan keselamatan di negara itu itu amat ketat. Jika ia benar berlaku di bawah pihak berkuasa AS ia amat memalukan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Peringatan PPM ke 72 di Markas PPM Wilayah 1 Batu Uban di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha dengan meletakkan sasaran untuk membawa pulang Jho Low.

Abdul Hamid (tiga dari kiri) berbual dengan anggota dan pegawai PPM yang menerima surat penghargaan tadi.
Abdul Hamid (tiga dari kiri) berbual dengan anggota dan pegawai PPM yang menerima surat penghargaan tadi.

"Saya masih bersabar lagi dan memberikan masa untuk mereka. Kita bekerjasama dengan mana-mana negara dalam hal-hal urusan kepolisan. Saya akan cuba sehabis baik untuk membawa Jho Low pulang.

"Saya tidak sebut dia akan pulang hujung tahun ini, tetapi saya sudah tetapkan sasaran. Jho Low sepatutnya dibicarakan di negara ini," katanya.

Terdahulu sebuah portal hiburan di Amerika Syarikat mendakwa Jho Low menghadiri satu majlis makan malam tertutup di Hollywood Hills pada 28 September lalu.

Dalam perkembangan lain Abdul Hamid mengesahkan Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam masa terdekat.

"Sesiapa sahaja akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.

"Kadang-kadang dalam hal ini, polis bertolak ansur. Jika orang yang dipanggil itu tidak dapat hadir pada waktu ditetapkan kita akan minta dia datang waktu yang dia boleh datang. Tapi dalam waktu terdekat lah," katanya.

Zainal dalam ucapan pembukaan tirai Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam Ahad lalu menyentuh isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.