'Polis Evo 2 tidak mengandungi mesej hina Islam'

Zulkifli ketika menonton tayangan khas Polis Evo 2 malam tadi atas jemputan produksi filem berkenaan.
Zulkifli ketika menonton tayangan khas Polis Evo 2 malam tadi atas jemputan produksi filem berkenaan.
A
A
A
SHAH ALAM - Filem Polis Evo 2 dinilai tidak mengandungi sebarang mesej penghinaan kepada Islam sebaliknya lebih kepada mengetengahkan fahaman fanatik sesat yang memberi ancaman kepada negara.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, secara umumnya, Polis Evo 2 cuba membangkitkan naratif jihad yang sebenar melawan psuedo-jihad.

“Watak antagonis seperti Hafsyam (yang dilakonkan oleh Hasnul Rahmat) tidak menampakkan dia sebagai seorang pengganas atas nama Islam secara mutlak kerana tidak ada dialog atau babak yang klise dalam menggambarkan pengganas atas nama agama seperti bertakbir dan menggunakan apa-apa ayat al-Quran atau hadis.

“Begitu juga, tidak ada langsung padanya ciri-ciri yang sering dibayangkan pada sosok pengganas atas nama agama dalam filem-filem barat seperti berjambang, ucapan yang penuh dengan nukilan dalil, konsisten dengan ibadah dan lain-lain,” katanya dalam catatan di laman sesawang rasminya semalam bertajuk Bayan Linnas Siri ke 145: Pendirian Mufti Wilayah Persekutuan Berhubung Isu Polis Evo 2.

Zulkifli berkata, watak Hafsyam digambarkan sebagai pemimpin ajaran sesat yang tegar merokok, mengedar dadah, kejam, akhlak bermasalah, tidak ada langsung babak solat dan lain-lain babak yang boleh menguatkan keyakinan kita bahawa beliau adalah benar-benar seorang pengganas atas nama agama.

“Sementara dialog “Kalau aku ahli neraka, kenapa tuhan takdirkan aku berdiri dan engkau melutut depan aku?!” yang dilontarkan oleh watak antagonis Hafsyam ketika mana berhadapan dengan Inspektor Sani (Zizan Razak) tidak dijelaskan dengan terperinci sehingga selesai filem.

“Ianya hanya disampaikan dalam bentuk subteks di akhir jalan cerita dan mungkin tidak dapat dikesan oleh sebilangan besar penonton,” katanya.

Zulkifli menambah, pun begitu filem ini pujian wajar diberikan ke atas filem ini atas sisi positifnya.

“Antara beberapa perkara yang kami lihat sebagai unsur positif dalam filem ini adalah satu pengiktirafan kepada wanita apabila watak Senior Asisten Komisioner, Datuk Azizat (Erra Fazira) memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan misi menumpaskan ajaran sesat.
Artikel Berkaitan:


“Pendedahan aurat dan juga ikhtilat yang sangat minima. Ini perkembangan baru yang sangat baik dalam filem tempatan.

“Dan semangat berpasukan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mempertahankan tanahair dan keamanan adalah mesej yang jelas dizahirkan.

“Mereka juga digambarkan sebagai individu yang kuat pegangan agama dan mengutamakan solat berjemaah. Malah, Datuk Azizat juga seorang wanita yang lengkap bertudung dan berpakaian sopan serta menutup aurat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zulkifli mencadangkan supaya dilantik konsultan Syariah agar perjalanan satu-satu filem yang membawakan tema sebegini, dapat mengelakkan sebarang isu-isu sensitif melibatkan agama.

“Sebaiknya, rujukan kepada konsultan Syariah dilakukan sejak dari awal pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem.

“Kami juga mencadangkan kepada produksi agar meletakkan penjelasan pada awal filem atau pada addendum berkenaan kesamaran dalam jalan cerita (mungkin sengaja diletakkan pada subteks) yang mungkin terdedah kepada salahfaham terhadap agama,” katanya.

Zulkifli juga memberitahu, bukanlah niat dan tugas Pejabat Mufti untuk menapis semua filem-filem tanahair namun, ini dilakukan atas rasa tanggungjawab kepada agama dan tanahair dalam membawa satu warna baru dalam industri perfileman tanahair.

“Sepatutnya, inilah tanggungjawab kita bersama khususnya di pihak produksi untuk lebih cakna terhadap isu-isu yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat.

“Institusi agama khususnya mufti bukanlah satu tempat yang eksklusif sehingga sukar untuk ditembusi. Tanggapan kepada institusi fatwa sebagai terlalu keras, tidak mesra dengan seni, sentiasa mengharamkan itu dan ini, hanyalah andaian semata-mata.

“Kami sejak dahulu lagi konsisten membuka ruang seluas-luasnya untuk membina jambatan antara institusi fatwa dan industri kreatif dalam mencorakkan Dasar Industri Kreatif Negara ke arah yang lebih baik.

“Apa yang telah terjadi ini, merupakan satu ingatan bagi pihak dalam industri hiburan dan perfileman untuk berhati-hati dalam berkarya,” katanya.

Semalam, Zulkifli dijemput produksi Polis Evo 2 menonton tayangan khas filem berkenaan berikutan kontroversi yang timbul apabila dikaitkan mempunyai unsur memburukkan imej Islam.