'Saya dah larang jangan main di kawasan tangki kumbahan'

Tuan Zuhri menunjukkan lubang tangki kumbahan tempat Nur ArieSha ditemui terjatuh, malam tadi.
Tuan Zuhri menunjukkan lubang tangki kumbahan tempat Nur ArieSha ditemui terjatuh, malam tadi.
A
A
A

KUANTAN - Cucu kepada pemilik rumah yang disewa keluarga mangsa lemas, Tuan Zahirah Anisa Tuan Zuhri Amran memberitahu dia pernah menegur sekumpulan kanak-kanak yang berlain di belakang rumah neneknya di Kampung Batu lima, Jalan Kuantan- Gambang petang semalam.

Remaja berusia 15 tahun itu berkata, teguran itu dibuat selepas melihat kelibat lapan kanak-kanak bermain di kawasan lubang kumbahan terbabit.

"Saya tegur...jangan baling batu dan kayu dalam lubang kumbahan," katanya.

Bagaimanapun, kata Tuan Zahirah Anisa dia langsung tidak menyedari kehadiran mangsa Nur ArieSha Abdul Rahman, 5, berhampiran lubang kumbahan itu.

Katanya, ketika itu dia hanya melihat kanak-kanak berkenaan di situ dan mereka tidak memberitahunya ada rakan yang jatuh di dalam lubang itu.

"Saya terus beredar dari situ selepas menegur mereka dan kanak-kanak itu semua meninggalkan tempat itu," katanya ketika ditemui di rumah neneknya hari ini.

Tuan Zahirah Anisa berkata, dia mengenali semua kanak-kanak yang datang bermain di kawasan rumah neneknya, Che Yah Abdul Rahman, 73, yang menjadi tempat bermain setiap petang.

"Mereka semua dah biasa bermain di kawasan rumah nenek...saya ada nampak Nur ArieSha datang bersama abangnya.

Artikel Berkaitan:

"Lepas itu saya tidak nampak kelibat dia terutama ketika sekumpulan kanak-kanak itu berada di belakang rumah neneknya," katanya.

Lubang kumbahan itu ditutup

Sementara itu, bapa Tuan Zahirah Anisa,Tuan Zuhri Amran Tuan Zakaria, 53, berkata, lubang kumbahan sedalam enam meter sentiasa ditutup dengan penutup besi.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka kanak-kanak yang bermain di halaman rumah ibunya bertindak mengangkat penutup lubang dan bermain di kawasan itu.

"Kanak-kanak ini setiap hari bermain di halaman rumah ibu saya. Biasa mereka bermain di kawasan garaj dan di bawah pokok tetapi semalam saya tidak menyangka mereka pergi ke lubang kumbahan itu.

"Saya juga lihat Nur ArieSha kali pertama datang ke sini bersama abangnya dan beberapa kali memberitahu supaya ibunya datang mengambilnya di sini untuk pulang," katanya.

Tuan Zahirah menunjukkan kawasan lapan kanak- kanak termasuk Nur ArieSha yang baling kayu dan batu sebelum dia melarang kanak-kanak terbabit bermain di kawasan tersebut, semalam
Tuan Zahirah menunjukkan kawasan lapan kanak- kanak termasuk Nur ArieSha yang baling kayu dan batu sebelum dia melarang kanak-kanak terbabit bermain di kawasan tersebut, semalam

Bapa kepada empat anak itu memberitahu, kejadian terbabit disedari selepas dimaklumkan oleh keluarga Nur ArieSha bahawa kanak-kanak tersebut masih tidak pulang ke rumah.

"Saya dimaklumkan oleh penduduk bahawa mangsa berada berada di dalam lubang kumbahan itu dan hubungi talian kecemasan sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuantan tiba di rumahnya.

"Pemeriksaan dilakukan di lubang kumbahan itu mendapati mayat Nur ArieSha sudah terapung dan pihak bomba segera mengambilnya," katanya.

Nur ArieSha ditemui lemas dipercayai terjatuh ke dalam tangki kumbahan itu malam tadi.

Mayatnya ditemui dalam keadaan terapung kira-kira jam 9 malam sebelum dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

Kehilangannya disedari oleh ibunya selepas dia keluar bermain petang semalam.

Kehilangan kanak-kanak tersebut kemudiannya ditularkan di Facebook oleh ibunya untuk meminta kerjasama netizen mengesan anaknya itu.

ARTIKEL BERKAITAN Budak perempuan lemas dalam tangki kumbahan