Banjir di Baling: Jumlah mangsa meningkat

Anggota bomba membantu memindahkan barangan peribadi penduduk ke pusat pemindahan.
A
A

ALOR SETAR - Seramai 170 mangsa banjir daripada 55 keluarga yang dipindahkan semalam masih ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir (PPS) di Baling setakat jam 11 pagi tadi.

Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, daripada jumlah itu seramai 146 mangsa daripada 50 keluarga ditempatkan di Kompleks Sukan Baling.

Menurutnya, 24 mangsa banjir daripada lima keluarga lagi ditempatkan di Dewan Tun Abdul Razak (lama).

"Bilangan mangsa dipindahkan ke PPS hari ini meningkat kepada 170 orang berbanding 145 orang daripada 49 keluarga yang dipindahkan pada tengah malam Selasa. 30 mangsa dipindahkan malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Faizol berkata, jumlah mangsa ditempatkan di PPS berkenaan dijangka berkurangan apabila banjir pulih.

Menurutnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bersama agensi lain termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Daerah Baling, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan sentiasa memantau keadaan banjir dan bersedia membantu mangsa.

"Beberapa kawasan di Baling yang dilanda banjir ialah Kampung Bendang Sera, Kampung Charuk Sikin, Kampung Tanjung Merbau dan Kampung Sungai Limau berikutan hujan lebat menyebabkan air Sungai Ketil melimpah," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seramai 145 orang daripada 49 keluarga dipindahkan akibat banjir dan bacaan paras air di Rumah Pam Pulai mencatatkan paras bahaya iaitu 50.75 meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir: 145 penduduk Baling dipindahkan