Misi MBSA sempena ulang tahun ke-19

MBSA akan terus memperkasakan lagi aktiviti pembersihan dan penyediaan infrastruktur awam dan fokus terhadap program yang melibatkan komuniti.
Gambar kanan: Haris Kasim
MBSA akan terus memperkasakan lagi aktiviti pembersihan dan penyediaan infrastruktur awam dan fokus terhadap program yang melibatkan komuniti. Gambar kanan: Haris Kasim
A
A
A

TARIKH 10 Oktober 2000 merupakan detik penuh bermakna buat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang diangkat statusnya daripada Perbandaran kepada Bandaraya. Seiring dengan statusnya, pastinya hasrat diletakkan oleh warga Shah Alam terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga adalah tinggi.

Sempena ulang tahun ke-19 hari ini, pastinya MBSA mempunyai pelan strategik dan jangka masa panjang ke arah perkhidmatan cemerlang kepada warga Shah Alam.

Bagi mendapatkan penerangan lebih lanjut Sinar Harian mewawancara Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Haris Kasim yang akan mengupas lebih mendalam misi dan visi MBSA.

Apakah penumpuan MBSA untuk memperkasakan lagi perkhidmatan kepada masyarakat?

Terlebih dahulu saya berserta ahli majlis dan seluruh warga kerja MBSA ingin berkongsi detik dan kegembiraan sempena sambutan ulang tahun bandar raya Shah Alam ke-19 bersama seluruh warga kota Shah Alam. Sebagai PBT yang prihatin kepada rakyat, kami sentiasa mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat termasuk daripada segi pengurusan perbandaran seperti sisa pepejal, kebersihan, keindahan landskap, penyediaan kemudahan dan infrastruktur awam selain keharmonian komuniti melalui platform Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

MBSA akan terus memperkasakan lagi aktiviti pembersihan dan penyediaan infrastruktur awam dan fokus terhadap program yang melibatkan komuniti.

Untuk makluman melalui Belanjawan 2020 MBSA, sebanyak RM2.4 juta diperuntukkan untuk aktiviti pemerkasaan komuniti. Peruntukan sebanyak RM100,000 akan diberikan kepada 24 zon MPP Shah Alam dan tambahan RM10,000 lagi untuk kegunaan sambutan perayaan pelbagai kaum.

Untuk sambutan tahun ini, apakah program dan aktiviti yang telah dirangka untuk warga kota Shah Alam?

Artikel Berkaitan:

Pelbagai aktiviti dirangka untuk komuniti setempat. Tetapi apa yang penting program yang dirangka ini semestinya dapat mendekatkan pihak MBSA dengan warga kota Shah Alam. MBSA telah merangka pelbagai program sempena sambutan tahun ini yang kebanyakannya akan melibatkan penyertaan komuniti pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat. Antara program yang akan dilaksanakan sepanjang Oktober seperti:

Majlis penyerahan cenderahati kelahiran bayi yang dilahirkan pada 10 Oktober 2019 di Hospital Shah Alam dan Hospital Kanak-Kanak dan Wanita Avisena

Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 11 Oktober 2019 di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U19; Masjid Ubudiyah, Seksyen 19 dan Masjid An-Naim, Jalan Kebun, Seksyen 30

Program Konvoi Jelajah MPP pada 12 Oktober 2019

Program Shah Alam Showcase pada 12 Oktober di Dataran Kemerdekaan jam 9 malam

Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan pada 13 Oktober 2019 bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam

Pasar Bunga Shah Alam 2019 bermula 17 hingga 20 Oktober 2019 bertempat di Taman Tasik Shah Alam

Program Bicara Ilmuan pada 18 Oktober bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Pertandingan Memancing pada 19 Oktober 2019 bertempat di Taman Tasik Shah Alam

Program Hari Mesra MBSA 2019 pada 30 Oktober 2019 bertempat di SACC Mall, Seksyen 14, Shah Alam

Adakah program-program yang dirangka oleh MBSA ini boleh disertai oleh masyarakat?

Kami merancang program untuk orang ramai. MBSA sangat mengharapkan penyertaan seluruh warga Shah Alam turut serta dalam setiap aktiviti yang dirancang ini. Hasrat kami untuk jadikan program ini satu platform untuk mendekati penduduk Shah Alam dengan MBSA. Kami harap komuniti Shah Alam sama-sama hadir dan meraikan ulang tahun MBSA yang ke-19.

Sebenarnya banyak lagi yang kami sudah diaturkan seperti Program Hari Mesra MBSA yang menjadi platform kepada warga Shah Alam menyalurkan aduan, pandangan atau apa-apa cadangan untuk kami tambah baik perkhidmatan. Inilah masa orang ramai berjumpa pegawai dan kakitangan MBSA, lihat sendiri dan fahami fungsi serta peranan MBSA membangunkan Shah Alam ini melalui bahan-bahan pameran yang kami sediakan.

Begitu juga semasa Hari Tanpa Kenderaan, kami galakkan orang ramai hadir awal pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti seperti senamrobik, eco free market, pemeriksaan kesihatan dan pelbagai lagi aktiviti untuk seisi keluarga. Selain itu, pihak MBSA juga merangka program Jelajah MPP di mana pihak pengurusan tertinggi MBSA termasuk saya akan berkonvoi untuk bertemu komuniti di MPP terpilih di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan pentadbiran Majlis MBSA. Ini adalah konsep turun padang untuk bertemu masyarakat dan aktiviti ini diharapkan dapat mendekatkan pihak MBSA bersama masyarakat.

Adakah sebarang insentif atau kemudahan yang ditawarkan oleh MBSA sempena ulang tahun bandar raya Shah Alam ke-19 ini?

Kami menyediakan beberapa insentif untuk dikongsi oleh masyarakat. Kempen pengurangan kompaun selama sebulan mulai 1 hingga 31 Oktober sebanyak 50 peratus akan diberi kepada kompaun terpilih dan RM30 terhadap kompaun kesalahan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007. Seluruh warga Shah Alam khususnya Orang Kena Kompaun (OKK) ambillah peluang untuk menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing.

Selain itu, pada 10 Oktober juga, pengguna tidak akan dikenakan bayaran untuk tempat letak kereta di lokasi seperti bangunan Wisma MBSA dan Stesen Komuter Seksyen 19. MBSA juga menawarkan perkhidmatan percuma untuk sewaan Padang C, Dataran Kemerdekaan dan Dewan Serbaguna MBSA untuk aktiviti badminton sahaja. Sepanjang Oktober keahlian percuma juga diberikan kepada mereka yang ingin menjadi ahli perpustakaan yang disediakan oleh MBSA. Insentif ini diberikan untuk menghargai warga Shah Alam yang telah bersama-sama menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya yang hebat.

Apakah harapan dan peranan MBSA demi mencapai tahap yang lebih baik?

MBSA akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terbaik kepada masyarakat. Fungsi dan peranan MBSA akan terus diperkasa untuk memastikan rakyat dapat menikmati kesejahteraan hidup di bandar dalam bentuk persekitaran yang berkualiti, selamat, gaya hidup sihat dan harmoni.

MBSA juga akan terus memberi fokus kepada penambahbaikan perkhidmatan kepada warga Shah Alam di setiap peringkat sama ada penduduk, pelabur, peniaga atau pemaju supaya maklumat terkini dapat disampaikan kepada semua.

MBSA juga akan sentiasa memastikan perkhidmatan perbandaran seperti pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur awam, melestarikan lagi bandar raya ini melalui projek pengindahan dan penanaman pokok, menguatkuasakan peraturan dan undang-undang, menambah baik kemudahan awam dan rekreasi dipertingkat dari semasa ke semasa.

Semua ini tidak lain tidak bukan untuk kesenangan dan keselesaan penduduk Shah Alam.

MBSA juga akan memperkasakan sistem penyampaian dengan memperkenalkan sistem atas talian untuk memudahkan masyarakat berurusan dan mendapatkan perkhidmatan MBSA. Pada masa ini kita mempunyai aplikasi i-Adu, Flexi Parking dan sebagainya. Insya-ALLAH, MBSA akan memperbanyakkan lagi sistem secara online ini demi kemudahan masyarakat.

Apakah pesanan dan nasihat kepada warga Shah Alam sempena ulang tahun ke-19?

Saya amat berharap warga Shah Alam bersama-sama menjadikan Shah Alam sebagai kawasan selamat, selesa dan sejahtera. MBSA sentiasa komited untuk menjadikan bandar raya ini sebagai sebuah perbandaran yang lestari dan mampan tetapi peranan masyarakat khususnya warga Shah Alam amat diharapkan agar segala perancangan dapat direalisasikan.

Tanamkan perasaan untuk sayangkan bandar raya ini. Jika perkara itu diterapkan, kita tidak sanggup untuk lakukan perkara negatif seperti vandalisme, merosakkan harta benda awam, tidak membuang sampah merata tempat, tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga kota dan penduduk Shah Alam kerana sentiasa bersama MBSA memastikan bandar Shah Alam sebagai bandar berdaya huni.