Nilai saya 5 tahun lagi: Maguire

MAGUIRE. Foto: The Independent
A
A

TONGGAK pertahanan Manchester United, Harry Maguire mengharapkan peminat tidak terlalu cepat menilai persembahannya bersama The Red Devils ketika ini.

Menurutnya, tidak adil untuk mengkritik prestasinya itu selepas hanya beberapa bulan bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Malah, pertahanan termahal dunia itu meminta penyokong memberikan ruang kepadanya dan kembali menilai prestasinya selepas lima tahun akan datang.

"Ini mengenai perancangan jangka panjang. Dalam lima atau enam tahun, nilailah saya sama ada saya sudah berjaya di kelab ini atau tidak.

"Saya yakin dalam lima atau enam tahun, saya akan menjadi yang terbaik dan menjadi antara pemain terhebat di kelab ini," katanya.

United mengharungi permulaan buruk dalam saingan EPL musim ini selepas hanya merekodkan dua kemenangan dalam lapan perlawanan.

Prestasi hambar United itu juga turut memberi kesan kepada Maguire yang dilihat gagal menampilkan aksi cemerlang di benteng pertahanan sekali gus dinilai tidak setimpal dengan harga £ 80 juta (RM404 juta) yang dibayar The Red Devils untuk mendapatkan pemain itu pada jendela perpindahan lalu.

"Kami perlu terus berkembang sebagai sebuah pasukan, bukan cuma saya sebagai individu. Saya rasa kalau kami mampu meningkat sebagai sebuah pasukan, saya juga akan turut berjaya.

"Ia berkaitan masa. Semua pihak harus memberikan kami peluang untuk kembali bangkit menjadi sebuah pasukan hebat di EPL," katanya.