Perompak pecah bilik pameran larikan tiga Ford Ranger Raptor

No Image Caption
A
A
A

KAJANG – Tiga pacuan empat roda di sebuah pusat pameran kenderaan di Sungai Jelok, Kajang, lesap dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki awal pagi semalam.

Suspek yang dipercayai terdiri daripada lima lelaki itu disyaki memecah masuk ke premis berkenaan kira-kira jam 4 pagi sebelum membawa lari tiga kenderaan Ford Ranger Raptor.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki yang memaklumkan mengenai kes itu pada jam 4.08 pagi.

Menurutnya, pegawai penyiasat dan pasukan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dibantu pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dikerahkan ke tempat kejadian.

"Siasatan mendapati semasa kejadian premis itu dikawal oleh seorang pengawal keselamatan yang merupakan warga Pakistan berusia 47 tahun.

"Pengawal keselamatan yang telah bekerja di premis itu selama lapan tahun diikat dengan menggunakan tali nilon,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan syarikat bilik pameran kereta tersebut telah mengalami kerugian kira-kira RM600,000.

Katanya, polis kini giat mengesan kesemua suspek terbabit dan meminta orang ramai tampil ke balai polis berdekatan sekiranya mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hafizah Abdul Latiff di talian 016-6060955.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya.