Jual PLUS tindakan keterlaluan

Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Restoran Jejantas Sungai Buloh. (Gambar kecil: Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris)
Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Restoran Jejantas Sungai Buloh. (Gambar kecil: Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kesediaan kerajaan untuk menjual Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) disifatkan sebagai melampau dan keterlaluan

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, PLUS yang juga milik Khazanah Nasional Berhad merupakan aset strategik yang harus dikekalkan sebagai hak milik negara.

Menurutnya, penjualan PLUS hanya akan menjejaskan kakitangan dan peniaga vendor kerana tentunya akan berlaku pengubahsuaian dalam organisasi seperti pengurangan pekerja dan perubahan polisi yang memihak syarikat asing.

“Aset milik Khazanah Nasional sudah pun dijual kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti IHH Berhad yang dijual kepada Jepun pada November 2018 pada nilai RM8.41 bilion. Selain itu, Khazanah Nasional juga telah menjual keseluruhan 55 peratus pegangan saham dalam lebuh raya tol Jakarta dengan RM2.1 bilion pada September 2019.

“Kini, PLUS pula hendak dijual kepada syarikat asing dan akan merugikan Khazanah Nasional kerana tidak memiliki apa-apa aset strategik untuk kepentingan ekonomi negara.

"Jika PLUS dijual, Khazanah Nasional akan gagal menjalankan fungsinya sebagai syarikat induk dalam pelaburan kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Najmil berkata demikian mengulas mengenai kerajaan bersedia untuk menjual PLUS kepada firma Hong Kong, RRJ Capital dengan tawaran bernilai RM3.5 bilion untuk membeli 100 peratus kepentingan PLUS.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerakusan kerajaan menjual aset negara akan menyebabkan negara kehilangan seluruh harta dan aset strategik yang selama ini menjadi simbol kekuatan ekonomi negara yang telah lama dibina oleh kerajaan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan menjual PLUS adalah melampau dan membuktikan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad gagal sepenuhnya dalam menjaga kepentingan negara,” katanya.

Jelas Najmil, kebolehan Dr Mahathir dalam mentadbir negara semakin diragui kerana tiada sebarang pembangunan ekonomi dilakukan sejak memerintah dan hanya mahir dalam menjual aset strategik negara.

Beliau turut mengingatkan agar jangan membiarkan rakyat negara ini ‘menumpang’ di bumi sendiri apabila seluruh harta tergadai kepada syarikat asing.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, sebarang bidaan terhadap saham pegangan Khazanah dalam PLUS akan dikaji kerajaan sekiranya bersesuaian dengan kehendak mereka.

Jelasnya, kerajaan boleh menjual pegangan saham dimiliki Khazanah dengan syarat pelaburan semula duit itu dapat dikenal pasti.

Semalam, Maju Holdings menawarkan kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar tol sehingga 36 peratus jika cadangan pengambilalihan PLUS Malaysia Bhd, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia diluluskan.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu turut komited untuk melabur kira-kira RM5.3 bilion yang termasuk memasang lampu di sepanjang lebuh raya bersama-sama dengan penambahbaikan lain yang diperlukan.

Katanya, Maju Holdings Sdn Bhd turut mencadangkan untuk menyerap RM2.7 bilion bagi pampasan tol yang perlu dibayar kerajaan kepada PLUS Malaysia Bhd sekiranya pengambilalihan konsesi lebuh raya terbesar negara itu oleh syarikat berkenaan berjalan lancar.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedia kaji bidaan PLUS sekiranya bersesuaian: PM

Ambil alih PLUS: Maju Holdings tawar kurangkan kadar tol hingga 36 peratus