Anwar ziarah keluarga Allahyarham BJ Habibie

Anwar
Anwar
A
A
A

JAKARTA - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menziarahi keluarga Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie (BJ Habibie), bekas presiden Indonesia di kediaman Allahyarham di Patra Kuningan, Jakarta.

Tiba kira-kira jam 8 malam, Anwar disambut dua anak BJ Habibie, iaitu Ilham Akbar Habibie dan Thareq Kemal Habibie dan kemudiannya bersilaturahim dengan orang ramai yang mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham.

Anwar turut memohon maaf kepada keluarga Allahyarham atas kekangannya yang tidak dapat hadir pada hari pengebumian Allahyarham pada 12 September lalu.

BJ Habibie meninggal dunia di usia 83 tahun di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto, berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya pada 11 September lepas.

BJ Habibie adalah Presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Bercakap kepada pemberita, Anwar yang turut mengimbau kenangan dan keakrabannya bersama Allahyarham, berkata hubungan Malaysia dan Indonesia perlu diperkukuhkan lagi, menerusi hubungan akrab antara pemimpin kedua-dua negara.

"Hubungan intim (perlu) kalangan pemimpin (kedua-dua negara) dan sebahagian besar permasalahan (antara kedua-dua) negara akan dapat diselesaikan," kata Anwar.

Pada majlis pengebumian Bj Habibie, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah hadir menzahirkan penghormatan dan takziah Malaysia. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Presiden Indonesia ketiga BJ Habibie meninggal dunia

Artikel Berkaitan: