Zon aliran bebas di Wang Kelian tidak dilaksanakan semula

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula kemudahan zon aliran bebas antara Wang Kelian di Malaysia dan Wang Prachan di Thailand atas faktor-faktor keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehubungan itu, kerajaan akan menghentikan terus kemudahan keluar masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian yang dilaksanakan sejak 1 April 2015.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan untuk menguatkuasakan akta dan peraturan berkaitan kawalan keluar dan masuk di Malaysia.

"Ini bermakna rakyat Malaysia yang ingin menyeberangi sempadan perlu melalui pintu masuk yang diwartakan dan perlu mempunyai pasport antarabangsa dan dokumen perjalanan yang sah seperti pas sempadan dan begitu juga sebaliknya untuk rakyat Thailand.

"Peraturan ini dilaksanakan segera sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan kawalan sempadan bagi menyekat dan mengekang ancaman serta penyeludupan barangan terlarang yang dilihat menjadi ancaman kepada negara," katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk membuka semula kawasan zon aliran bebas di Wang Kelian dalam masa terdekat dan apakah syarat-syarat yang diperlukan untuk membuka semula Wang Kelian ini.

Zon aliran bebas itu merupakan satu perintah yang mengecualikan rakyat Thailand dari keperluan mendapatkan pas lawatan dan keperluan mengemukakan pasport ke kawasan pintu masuk Wang Kelian di Malaysia serta mengecualikan rakyat Malaysia daripada keperluan mengemukakan pasport ke kawasan Wang Prachan di Thailand. - Bernama

Artikel Berkaitan: