9 syarikat seleweng AP kenderaan disenarai hitam

Darell Leiking
Darell Leiking
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sembilan syarikat telah disenarai hitam selepas audit pematuhan dijalankan kerana didapati melakukan kesalahan berkaitan penyelewengan Lesen Import (AP) kenderaan bagi tempoh 2017 hingga 2018.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, audit pematuhan itu meliputi keseluruhan proses pengimportan sehingga kenderaan itu dijual dan didaftarkan, selain ia bertujuan memastikan syarikat-syarikat pemegang AP Terbuka mematuhi garis panduan sedia ada.

"Kementerian ini sejak 2009 telah melaksanakan audit pematuhan secara berkala bagi memastikan isu penyalahgunaan AP dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu sama ada audit forensik wajib dijalankan ke atas semua penerima AP sedia ada, untuk memastikan tiada ketirisan dan unsur rasuah berlaku dalam pemberian kontrak dan pengagihan AP.

Jawapan berkenaan dipaparkan di laman web Parlimen malam ini.

Darell berkata, di bawah Dasar Baharu AP Terbuka yang bermula pada 1 Januari lalu bagi menambah baik pengurusan dan memastikan pengagihan AP lebih telus, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan antaranya agihan asas peruntukan AP berdasarkan modal berbayar syarikat dan sebarang permohonan tambahan akan dipertimbang berdasarkan prestasi jualan oleh syarikat.

"Selain itu, bagi permohonan baharu syarikat-syarikat AP Terbuka, kereta dan motosikal yang dilantik adalah selepas melalui penilaian dan audit oleh juruaudit luar bertauliah yang dilantik oleh kementerian,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: