Maruah Melayu, bolehkah dipulihkan?

A
A

SIAPA yang hendak dipersalah sekiranya maruah bangsa jatuh sehingga kita terpaksa mengadakan perhimpunan khas Kongres Maruah Melayu? Jangan salahkan orang lain, salahkan Melayu sendiri!

Tidak guna menjerit dan menuding jari kepada orang Cina, India atau lain-lain kaum sebagai penyebab anak cucu Hang Tuah merempat di bumi sendiri.

Benarlah wira legenda itu pernah berkata: “Takkan Melayu hilang di dunia!” Sekiranya Si Tuah masih hidup hari ini, dia pasti menangis melihat nasib bangsa yang diperjuangkan dulu.

Memang benar seperti yang dimadahkan, Melayu tidak hilang di dunia. Tetapi bangsa itu sudah hilang maruah, mengemis, hina dan menjadi bangsat di tempat sendiri.

Apa boleh buat Melayu yang dimegahkan oleh Tuah itu telah membangsatkan diri sendiri. Kongres di Shah Alam Ahad lalu telah menghurai mengapa maruah Melayu terhakis.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika merasmikan kongres berkenaan menyebut betapa kerajaan telah mewujudkan Dasar Ekonomi Baru untuk membantu Melayu.

Semua orang tahu di bawah dasar tersebut berbagai bantuan telah diberi untuk memajukan orang Melayu. Malang sekali orang Melayu tidak tahu menggunakan tongkat yang diberi, sebaliknya menyalahgunakan tongkat berkenaan.

Kalau tidak disebut oleh Dr Mahathir pun semua orang – termasuk bukan Melayu – faham benar bahawa bangsa Melayu memang tidak tahu diuntung.

Contoh di depan mata: orang Melayu diberi peluang berniaga, tetapi menyalahgunakan peluang itu. Diberi AP, akhirnya AP itu dijual kepada orang lain.

Ramai usahawan Melayu dianugerahkan sekian banyak AP supaya mereka mengusahakan jual beli kereta. Tetapi kebanyakan mereka tidak mahu berusaha dan menggadaikan AP yang berharga itu kepada orang lain, mengambil untung bersih bulanan dengan hanya goyang kaki. Akhirnya orang lain untung juta-juta Melayu terus merempat.

Orang lain makan sup Melayu hanya menghirup kuah adalah cerita lama yang sampai kini masih terjadi. Apa boleh buat, kita lebih rela menjilat kuah dan setakat mampu mencuci mangkuk!

Di ruangan ini beberapa minggu lalu penulis menyebut mengenai tempat berniaga di KL, termasuk pasar Chow Kit yang permit kepunyaan bumiputera digadaikan kepada orang luar.

DBKL pun mengakui perkara ini tetapi sejak sekian lama – bertukar Datuk Bandar, bertukar menteri – masalah ini tidak dapat diatasi.

Jual permit berniaga, jual AP, jual tongkat, sama sahaja seperti jual seluar dalam kepada orang lain. Malunya Melayu!

AP hanya satu contoh. Selain itu, kerajaan menubuhkan sekian banyak agensi untuk membantu Melayu. Mereka yang ingin berniaga disediakan bantuan dan pinjaman modal.

Ada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan sekian banyak agensi menyalurkan pinjaman RM berjuta-juta, malah berbilion untuk membantu Melayu berniaga.

Pinjaman diambil, bisnes tidak menjadi. Hutang kepada agensi tidak dilunaskan. Malah ada yang berpendapat bahawa pinjam dengan Mara atau Tekun tidak perlu bayar balik.

Melayu dan Islam, tetapi berhutang tidak mahu membayar balik. Tanya diri sendiri, maruah apa yang hendak kita pertahankan?

Kita masih boleh berbangga sebab Melayu masih berkuasa di negara ini. Tetapi sekiranya kita jujur, kita kena mengakui bahawa kuasa di tangan Melayu itu pun semakin tergugat dan longlai sekarang.

Sekali lagi jangan salahkan orang Cina, salahkan diri sendiri. Pemimpin Melayu kita pun menunjukkan banyak contoh tidak bermaruah. Rasuah, salah guna kuasa ketara sangat.

Pada peringkat yang lebih ekstrem, ada pemimpin Melayu yang terlibat dalam skandal seks mengaibkan. Apa yang kita hendak cakap tentang maruah apabila pemimpin Melayu @ Islam kita terlibat dengan semburit?

Tanya diri sendiri, siapa kalau bukan pemimpin Melayu sendiri yang terlibat dalam skandal RM berbilion yang hampir memufliskan negara?

Siapa kalau bukan pemimpin Melayu yang terlibat dengan berpuluh tuduhan melibatkan RM berbilion? Dan siapa kalau bukan Melayu sendiri yang masih mengarak pemimpin korup ini dan terus menganggap mereka sebagai wira?

Maka buatlah simposium, kongress, kolikium, seminar dan lain-lain seumpamanya, selagi kita tidak insaf dan hanyut dengan hubaya-hubaya yang entah apa-apa, Melayu akan tetap tidak bermaruah.

*Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah (UMS)


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.