Statecraft dan Belanjawan 2020

A
A
A

SECARA umumnya terdapat tiga kategori utama instrumen tataurus negara (statecraft) yang diulas oleh para sarjana: diplomasi, ketenteraan, dan ekonomi.

Tulisan ini akan menilai prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini dalam memelihara kepentingan nasional kita dalam ketiga-tiga aspek ini secara ringkas - khusus menjelang pembentangan Belanjawan 2020 tidak lama lagi.

Istilah statecraft ditakrifkan oleh Michael Mastanduno sebagai instrumen yang dimiliki oleh autoriti politik pusat untuk digunakan bagi mencapai matlamat-matlamat dasar luar manakala istilah tataurus ekonomi luar atau economic statecraft pula boleh difahami sebagai penggunaan kaedah dan hubungan ekonomi untuk mencapai matlamat-matlamat dasar luar.

Lalu bagaimana dengan prestasi tataurus kerajaan PH hingga hari ini?

Kerajaan PH menegaskan bahawa mereka mewarisi hutang dan liabiliti kerajaan sebanyak RM1.087 trilion sehingga akhir 2017.

Angka itu disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang dalam laporan bertarikh 17 Julai 2019.

Sebahagian besar daripada jumlah itu ialah hutang dan liabiliti yang dikatakan ‘disembunyikan ataupun dipaparkan sebagai perkara luar belanjawan’ oleh pentadbiran terdahulu – termasuk hutang 1MDB sebanyak RM38.3 bilion yang didapati telah dibayar balik secara rahsia oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Namun begitu, hutang 1MDB telah dikurangkan oleh PH daripada 2.8 peratus kepada 2.2 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Artikel Berkaitan:

Kerajaan PH juga telah menjual sebanyak lebih RM30 bilion aset negara (setakat September 2019). Kerajaan PH menjual paling banyak aset negara kepada Jepun iaitu sebanyak RM9.605 bilion, diikuti China (sekitar RM9.11 bilion) dan Singapura (RM7.156 bilion).

Apakah rasional penjualan aset-aset negara ini?

Kesemua ini boleh dihubungkan dengan objektif PH yang cuba untuk merundingkan kembali kos projek ECRL (daripada RM66.5 bilion kepada RM44 bilion dengan China), membatalkan projek TGSP dan MPP SSER (di mana RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada kontrak bernilai RM9.4 bilion telah dibayar antaranya kepada syarikat China meskipun hanya 13 peratus kerja dilaporkan selesai), mendapatkan Jho Low (daripada China), rundingan Bon Samurai (dengan Jepun) dan mendapatkan kembali dana 1MDB dan rundingan projek seperti HSR (dengan Singapura).Aset

Kementerian Kewangan turut membuat kenyataan media berikut:

“Pejabat Perdana Menteri berkuasa sepenuhnya dalam menyahlabur pelbagai aset bukan-teras dan bukan-kritikal untuk mengimbangkan kembali portfolio kerajaan dan menjajarkan kembali peranan sektor awam. Hasil daripada penyahlaburan, apabila dikembalikan kepada perbendaharaan kerajaan dalam bentuk dividen, akan diperuntukkan ke arah pengurangan hutang dan liabiliti kerajaan.

“Kerajaan sedang berusaha secara aktif untuk mendapatkan kembali aset untuk dana yang telah diselewengkan daripada 1MDB di serata dunia. Sebanyak RM925.1 juta telah dapat dikembalikan sehingga kini, tidak termasuk penjualan kapal layar mega Equanimity untuk RM523 juta. Jumlah ini dan hasil usaha pengembalian akan datang akan digunakan sepenuhnya untuk membayar kembali hutang-hutang 1MDB."

Namun begitu, dari aspek tataurus ketenteraan (military statecraft), terdapat tindakan kerajaan PH yang boleh dipersoalkan, antaranya mengubah kontrak kerajaan BN dahulu yang membeli empat kapal pesisir tentera laut dari China dengan harga RM1.17 bilion pada April 2017.

Jika kontrak BN menyaksikan dua kapal akan dibina di China dan dua lagi dibina di Malaysia oleh syarikat Boustead Naval Shipyard, kontrak baharu oleh PH pula yang dimeterai pada Oktober 2018 menyaksikan keempat-empat kapal itu akan dibina di China.

Meskipun alasan penjimatan sebanyak RM122 juta (kos kontrak turun ke RM1.048 bilion) dijadikan sandaran, namun keputusan itu tidak kena dengan situasi geopolitik semasa.

Sudahlah pencerobohan berterusan China ke wilayah perairan kita di Beting Patinggi Ali tidak tercegah lagi, kini kapal TLDM kita pula diserahkan sepenuhnya untuk dibina China.

Maka keutamaan Belanjawan 2020 nanti wajib juga diberi kepada dua dimensi tataurus berikut: Pertama, langkah pemerkasaan industri tempatan untuk bebas daripada pergantungan total kepada kuasa asing dalam pemerolehan aset ketenteraan; Kedua, langkah untuk mengurangkan penjualan aset negara kepada kuasa asing sebagai kaedah utama untuk membayar hutang kerajaan.

Sama-sama kita doakan.

*Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)