30 kertas siasatan isu perkauman dibuka sejak Mei 2018

Muhyiddin
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 30 kertas siasatan yang menyentuh isu perkauman telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Mei 2018 hingga 15 September lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah itu, dua kes telah dituduh di mahkamah dan masih di dalam perbicaraan.

“10 kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan kes adalah Tiada Tindakan Lanjut (NFA) manakala baki 18 kes masih dalam siasatan oleh pihak polis,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang ingin tahu bilangan individu yang telah didakwa di mahkamah kerana menyebarkan mesej-mesej jelik perkauman sejak Mei 2018 dan jenis hukuman yang dikenakan.

Muhyiddin berkata, PDRM turut menjalankan pemantauan terhadap penyebaran mesej-mesej jelik yang disiarkan melalui media sosial dan tindakan sewajarnya menurut undang-undang diambil bagi memastikan keharmonian antara kaum dapat terus dipelihara.

“Sebarang isu yang melibatkan sentimen perkauman akan ditangani dengan mengambil kira kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam secara menyeluruh berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.

“Siasatan yang dijalankan oleh PDRM juga akan dilaksanakan secara teliti bagi memastikan tindakan yang diambil dapat meredakan sentimen kebencian antara kaum dan agama,” katanya. - Bernama