Kilang ais di Tok Bali tangani kekurangan bekalan ais

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Masalah kekurangan ais yang dihadapi nelayan di sekitar Kuantan dan kawasan Pantai Timur akan dapat diatasi dengan pembinaan sebuah lagi kilang di Tok Bali, Kelantan.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Azrin Shah Ismail berkata, kilang dengan kos RM10 juta itu mampu membekalkan tambahan 100 tan air batu sehari.

Menurutnya, ketika ini rancangan pembinaan kilang itu sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan akan menyiapkan fasa pertama pembinaan pada 2021.

“Nekmat memiliki kilang di Kuantan, Pahang yang mampu membekalkan 170 tan air batu sehari dan di Chendering, Terengganu dengan kapasiti pengeluaran 75 tan air batu sehari,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, dengan kewujudan kilang di Tok Bali, air batu akan dapat dihantar ke Kuantan dari Chendering jika berlaku kekurangan manakala jika berlaku kekurangan di Chendering ia akan dapat ditampung dengan pengeluaran dari Tok Bali.

Beliau berkata demikian mengulas permintaan persatuan nelayan di sini yang mahu Nekmat menambah pengeluaran blok air batu atau mendapatkan bekalan dari luar bagi memenuhi permintaan ketika tiba musim kemuncak hasil laut sekitar September hingga November.

Azrin Shah berkata, pihaknya turut bercadang menempatkan mesin ‘ice flake’ di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan selain mahu menambah bilangan bilik sejuk bagi menyimpan stok air batu.

Katanya, mesin itu mampu menambah pengeluaran ais sebanyak lima hingga 10 tan sehari bagi tujuan pembungkusan hasil laut.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, biasanya Nekmat membeli daripada pengeluar ais swasta di Kuantan dan Kuala Selangor bagi mengatasi masalah kekurangan air batu di Kuantan.

"Namun pada tahun ini pendaratan hasil laut sejak September lalu adalah tinggi termasuk di kawasan Terengganu dan Pantai Barat negara di mana nelayan di kawasan terbabit juga memerlukan air batu yang lebih banyak.

“Masalah ini bertambah buruk apabila sebuah kilang ais swasta yang menjadi alternatif nelayan pada musim memuncak di Kuantan turut menghadapi masalah teknikal," katanya.