Kembalilah membaca surat khabar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TARIKH 9 Oktober 2019 menjadi hari paling sedih buat semua pengamal media di negara ini apabila syarikat akhbar bahasa Melayu tertua negara, Utusan Melayu menghentikan operasi akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad susulan masalah kewangan dihadapinya.

Memorandum yang ditandatangani Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir itu turut menjelaskan tarikh akhir bekerja kakitangan ditetapkan pada semalam manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah hari Khamis, 31 Oktober 2019.

Nasib sama tidak mustahil menimpa akhbar terbitan syarikat lain. Bilangan pekerja syarikat penerbitan pada masa sekarang makin mengecil.

Sebenarnya, ramai yang tidak tahu bahawa membeli surat khabar adalah salah satu bentuk solidariti seperti kempen tanda pagar Buy Muslim First (#BMF) yang dimulakan sejak dua bulan lalu.

Jika #BMF lebih cenderung kepada survival ekonomi orang Islam, surat khabar pula mempertaruhkan sebuah tamadun manusia.

Manusia yang bertamadun perlu membaca. Manusia perlu membaca perkara yang memberikan manfaat dan menjana pemikiran supaya lebih kreatif serta kritikal.

Ramai tidak tahu bagaimana petugas media berhempas pulas menghasilkan suatu berita yang tepat dan sahih. Masa yang diperuntukkan bukan sedikit, tenaga yang dikerah juga bukan kepalang demi menyampaikan berita untuk pembaca.

Bagaimanapun, pembaca akhbar sekarang lebih cenderung untuk mempercayai sebaran tanpa etika oleh anonymous.

Artikel Berkaitan:

Semua yang berlaku bukan 100 peratus salah pembaca ataupun syarikat penerbitan, tetapi perkara terburuk itu sudah pun terjadi.

Apabila pembeli akhbar berkurangan, pengiklan menarik diri. Apabila pendapatan melalui iklan berkurangan, maka akhbar-akhbar akan bungkus.

Trend pengiklan sekarang pula mereka menggunakan media sosial sendiri untuk mendekati pembeli dan membuat kempen sendiri.

Memetik tulisan Penasihat Media Perdana Menteri dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, Datuk A Kadir Jasin, dunia tanpa pengarang adalah berbahaya dan memesongkan.

Katanya lagi, media sosial tidak boleh menggantikan peranan media arus perdana yang ada pengarang, penyunting dan wartawan.