Cubaan seludup tudung di Pengkalan Kubor gagal

60 helai tudung sarung pelbagai warna bersulam manik berjaya dirampas PGA Batalion 7 Kuantan.
60 helai tudung sarung pelbagai warna bersulam manik berjaya dirampas PGA Batalion 7 Kuantan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis tudung bernilai RM9,200 di pangkalan haram Simpangan, Pengkalan Kubor, Tumpat dekat sini pagi tadi.

Rampasan pada jam 6.45 pagi itu dilakukan oleh anggota PGA Batalion 7 Kuantan ketika melakukan rondaan rutin bermotosikal di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintahnya, Superintanden Azhari Nusi berkata, semasa rondaan dilakukan anggotanya telah ternampak seorang lelaki dan wanita yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangkalan haram itu.

“Sejurus menyedari kehadiran anggota PGA kedua-dua suspek telah bertindak melarikan diri menggunakan bot ke seberang Sungai Golok,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun suspek telah meninggalkan dua plastik berwarna hitam di tebing sungai berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas plastik berkenaan membawa kepada penemuan 60 helai tudung sarung pelbagai warna bersulam manik.

“Kita turut temui 40 helai tudung sarung bercampur pelbagai warna kosong,” katanya.

Azhari berkata, kesemua barangan rampasan itu akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi pencegahan jenayah di sempadan Malaysia-Thailand akan terus di perhebatkan dari masa ke masa.