Berakhirnya era TV analog di Semenanjung Malaysia

Seluruh Semenanjung Malaysia beralih sepenuhnya kepada siaran televisyen (TV) Digital myFreeview dengan penutupan sepenuhnya siaran terrestrial analog di wilayah utara dan timur pada malam 14 Oktober ini.
Seluruh Semenanjung Malaysia beralih sepenuhnya kepada siaran televisyen (TV) Digital myFreeview dengan penutupan sepenuhnya siaran terrestrial analog di wilayah utara dan timur pada malam 14 Oktober ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seluruh Semenanjung Malaysia beralih sepenuhnya kepada siaran televisyen (TV) Digital myFreeview dengan penutupan sepenuhnya siaran terrestrial analog di wilayah utara dan timur pada malam 14 Oktober ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, penutupan siaran TV analog di wilayah utara dan timur ini menandakan berakhirnya era TV analog sepenuhnya di Semenanjung Malaysia.

"Negeri-negeri di wilayah utara dan timur terlibat termasuk Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Siaran TV Digital myFreeview menjanjikan imej gambar yang lebih tajam, bunyi yang berkualiti tinggi dan perkhidmatan televisyen interaktif yang akan memacu keperluan ekonomi, sosial dan pendidikan negara dan rakyatnya," kata SKMM.

SKMM berkata, sebagai sebahagian daripada fasa peralihan, wilayah tengah dan selatan telah pun melaksanakan proses peralihan daripada siaran televisyen analog kepada siaran TV Digital myFreeview pada 30 September ini.

Fasa akhir penutupan siaran TV analog akan berlangsung di Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober ini, yang merupakan detik bersejarah buat negara ke arah era pendigitalan dalam landskap penyiaran dan menandakan berakhirnya siaran televisyen analog yang ditawarkan secara percuma di Malaysia sejak 1963, katanya.

Menerusi siaran TV Digital myFreeview, penonton boleh menikmati pelbagai saluran TV, radio, dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, pembelajaran interaktif melalui 15 saluran televisyen dan enam saluran radio termasuk TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, TV Al-Hijrah, dan Bernama News Channel (BNC).

Mereka yang masih belum beralih kepada platform siaran TV Digital myFreeview digalakkan untuk berbuat demikian dengan mendapatkan dekoder dan memasang aerial Ultra Frekuensi Tinggi (UHF) dan memasangnya kepada set TV sedia ada atau mendapatkan Integrated Digital TV (IDTV) yang telah dilengkapi dengan penala digital dan memasang kepada aerial UHF.

Artikel Berkaitan:

SKMM berkata, dekoder percuma turut diedarkan kepada isi rumah B40 yang berkelayakan.

Penonton tv boleh memeriksa kelayakan untuk mendapatkan dekoder percuma dengan menaip MYTV (jarak) DEKODER (jarak) (nombor kad pengenalan anda) dan hantar ke 15888 atau layari www.mytvbroadcasting.my/B40 atau hubungi pusat perkhidmatan pelanggan myFreeview di talian 1-300-80-6988 atau 1800-18-1088. - Bernama