Bon RM5b: Rakyat Malaysia rugi, syarikat berkait Jho Low raih manfaat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dana kekayaan berdaulat milik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan rakyat Malaysia mengalami kerugian daripada bon RM5 bilion Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang diterbitkan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, penerbitan bon itu bagaimanapun memberi manfaat kepada syarikat asing, Aktis Capital, yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ke-19 perbicaraan bekas perdana menteri itu berkaitan dana 1MDB.

Terdahulu, peguam berkenaan membacakan sepucuk surat antara AmBank dan Aktis berhubung jumlah bersih sebanyak RM74.62 juta yang dibayar kepada Aktis.

“Menurut surat ini, AmBank menyatakan Aktis telah melanggan bon pada RM617 juta dengan syarikat kemudiannya melantik AmBank sebagai ejen yang kemudiannya membantu syarikat menjual bon pada nilai tara, RM700 juta, menjadikan keuntungan dagangan sebanyak RM83 juta.

"AmBank dapat menjualnya pada nilai muka dan proses ini hanya memberi manfaat kepada Aktis,” kata Muhammad Shafee.

Semasa ditanya peguam siapa yang mengalami kerugian dalam urus niaga itu, saksi menjawab: "1MDB".

Muhammad Shafee: Beberapa orang mengatur dalam Aktis untuk penjualan dengan diskaun, untuk membolehkan Jho Low meraih untung.

Artikel Berkaitan:

“Siapa lagi yang rugi? Rakyat Malaysia? Rakyat Malaysia ditipu dua kali kerana bon berkenaan dijual pada diskaun dan kemudiannya dijual pada nilai yang lebih tinggi kepada institusi Malaysia seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Perkeso, syarikat insurans termasuk AmBank?” soal Muhammad Shafee.

Shahrol Azral: Ya.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung, dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan. - Bernama