Orang asli serah RM15,000 kepada SPRM

Mat Seri Pandak (empat dari kiri) dan Shazni (empat dari kanan) bersama sebahagian penduduk Kampung Lawai, Sungai Siput di hadapan Pejabat SPRM Perak hari ini.
Mat Seri Pandak (empat dari kiri) dan Shazni (empat dari kanan) bersama sebahagian penduduk Kampung Lawai, Sungai Siput di hadapan Pejabat SPRM Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 10 keluarga orang asli dari Kampung Lawai, Sungai Siput menyerahkan wang berjumlah RM15,000 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa diterima daripada syarikat pembalakan minggu lalu.

Wang tersebut dipercayai diberikan kepada kumpulan masyarakat orang asli itu sebagai 'saguhati' agar tiada bantahan dibuat penduduk terhadap aktiviti pencerobohan yang dijalankan sejak Julai lalu.

Wakil penduduk, Mat Seri Pandak berkata, terdapat sekurang-kurangnya 30 keluarga menerima pemberian wang tersebut dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40,000. Daripada jumlah itu, sebanyak RM400 hingga RM470 diberikan kepada setiap dewasa dan RM50 kepada kanak-kanak.

Menurutnya, wang itu diedarkan melalui satu sampul oleh wakil penduduk pada satu mesyuarat di Dewan Adat Kampung Lawai pada 3 Oktober lalu.

"Kami dimaklumkan wang ini saguhati daripada pembalak yang bersetuju memberikan sebanyak RM80,000 kepada penduduk kampung untuk satu blok balak.

"Sekiranya projek tersebut tidak disita kerajaan, maka sebanyak RM40,000 lagi akan diberikan kepada penduduk," katanya pada sidang media di hadapan Pejabat SPRM Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat di Balai Polis Simpang Jalong pada Isnin lalu.

"Ada wakil-wakil keluarga yang tidak mahu menerima wang berkenaan, namun terpaksa mengambilnya untuk menjaga hati penduduk lain.

Artikel Berkaitan:

"Kami yang rasa tidak senang dengan perkara ini bersetuju dan bersepakat untuk mengembalikan wang tersebut melalui bantuan SPRM dengan harapan satu siasatan dapat dijalankan.

"Ia juga bagi menyatakan bahawa kami sama sekali tidak menyokong penerokaan dan aktiviti pembalakan dilakukan di kawasan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Lapangan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Shazni Rashid berkata, satu surat bantahan terhadap aktiviti pembalakan di kawasan terbabit telah dihantar ke Pejabat Menteri Besar Perak bagi memohon campur tangan kerajaan Perak pada September lalu.

Namun, katanya, aktiviti pembalakan itu masih berterusan sehingga memberi kesan terhadap hasil hutan dan pencemaran Sungai Korbu yang menjadi sumber air utama penduduk.

"Kerajaan negeri juga tidak maklumkan sama ada projek berkenaan dibenarkan atau tidak dan ketika kami mohon satu perbincangan dibuat, timbul pula isu pemberian wang saguhati kepada penduduk," katanya.

Menurutnya, serahan wang dan laporan SPRM dibuat bagi memastikan siasatan terperinci dilakukan pihak berkuasa terhadap kegiatan pembalakan di kawasan terbabit.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop pula berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan pemberian wang saguhati berkenaan.

"Saya tiada maklumat mengenai perkara ini. Kita akan semak sebaik sahaja menerima laporan berkenaan," katanya.