X

Kindly register in order to view this article
!

Fitnah pemimpin DAP, Najib akan dipanggil polis

A
A

KUALA LUMPUR - Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi membantu siasatan susulan kenyataannya yang berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming di laman Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada Setiausaha Sulit Kanan Ahli Parlimen terbabit pada 3 Oktober lepas di Ipoh, Perak.

"Kita akan siasat laporan itu dan jika ada keperluan, sesiapa sahaja kita akan panggil (untuk dirakam keterangan)," katanya ada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Semalam, Kor Ming menggesa polis menyiasat FB 'Najib Razak' yang memuat naik hantaran berbaur fitnah pada 30 September lalu.

Najib menerusi perkongsian di Facebook menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Perak itu berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dimuat naik melalui satu hantaran di akaun Facebook.

Pada 29 September lepas, tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di FB ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor, berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor.

Kor Ming bagaimanapun menafikan beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran tersebut dan menegaskan akaun itu sebagai akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya dan parti itu.

Dalam pada itu, Huzir berkata, Kor Ming akan dipanggil semula untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan berhubung laporan polis oleh pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada 1 Oktober lepas berkaitan hantaran sama.

Semalam, Kor Ming hadir di Bukit Aman bagi merakam keterangan berhubung perkara itu dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Sementara itu dalam isu berbeza, polis mengesahkan telah menerima satu laporan berhubung himpunan Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada Ahad lepas.

Menurut Huzir, laporan itu dibuat terhadap Ketua Eksekutif Sekretariat program tersebut, Prof Emeritus Zainal Kling yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Zainal dalam ucapan pembukaan tirai kongres itu menyentuh isu berkaitan Perlembangaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!