Sentimen #BoycottMalaysia makin sepi: Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Satu gerakan yang membawa sentimen #BoycottMalaysia di media sosial kini dilihat semakin sepi.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, gesaan #BoycottMalaysia yang bermula 30 September lepas tidak lagi kelihatan di Twitter sejak semalam.

“Mujurlah #BoycottMalaysia tidak kelihatan lagi. Ia dilihat di Twitter dan diulang ciap pada hari terawal sahaja tapi semalam, kita lihat sudah tiada lagi. Kita percaya hubungan dua hala dengan India masih baik,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan Jasamu Dikenang 2019 Kementerian Luar Negeri, di sini hari ini.

Saifuddin berkata, gerakan #BoycottMalaysia bermula apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kepentingan menyelesaikan konflik Jammu-Kashmir pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York 27 September lepas.

Beliau berkata, ketegasan Dr Mahathir menyuarakan isu itu tidak diterima dengan baik oleh rakyat India, lantas mereka melancarkan gerakan boikot terhadap negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen India lancar kempen #BoycottMalaysia

Saifuddin berkata, pihak yang memulakan kempen berkenaan mungkin merasakan kenyataan Perdana Menteri itu agak tegas.

“Ada sebab mengapa Perdana Menteri menggunakan perkataan tertentu dalam ucapannya, bagi memastikan mesej itu sampai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir dilaporkan berkata: “Kini, meskipun terdapat resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Jammu dan Kashmir, negara berkenaan telah pun ditakluk dan ditawan. Mungkin ada beberapa sebab mengapa tindakan sedemikian dilakukan, namun seharusnya masalah itu perlu diselesaikan secara aman. India sewajarnya bekerjasama dengan Pakistan untuk menyelesaikan masalah itu. Mengabaikan PBB dilihat sebagai tidak menghormati badan dunia itu serta kedaulatan undang-undang.”

Ketika ditanya berhubung pendapat bahawa Malaysia tidak perlu campur tangan terhadap isu dalaman pihak lain, Saifuddin berkata: “Prinsip asas kita adalah bersahabat dan berurus niaga dengan semua negara. Kita tidak masuk campur hal dalaman mereka tetapi kita telah belajar daripada sejarah, sesetengah perkara kita tidak boleh diamkan sahaja.”

Sebagai contoh katanya, Malaysia telah menyuarakan isu pembunuhan beramai-ramai di Kemboja dan Rohingya.

“Kita perlu nyatakan pendirian kita,” katanya.

Saifuddin berkata, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada September telah meminta India membatalkan tindakan terhadap Kashmir dan mematuhi resolusi Majlis Keselamatan PBB susulan keputusan New Delhi yang membatalkan status istimewa wilayah Jammu dan Kashmir.

“Adalah lebih baik untuk India dan Pakistan sama-sama berunding dan ini adalah pandangan Malaysia serta berharap India dan Pakistan dapat duduk sekali dan berunding,” katanya. - Bernama