Najib berwajah selamba setelah dimaklumkan Sultan Mizan murka: Saksi

 Hari ke-19 perbicaraan kes dana 1MDB yang dihadapi Najib.
Hari ke-19 perbicaraan kes dana 1MDB yang dihadapi Najib.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak berwajah selamba setelah beliau dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin murka berhubung pengeluaran bon Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) bernilai RM5 bilion.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, beliau menyampaikan perkara itu kepada bekas perdana menteri dalam pertemuan di rumah Najib di Langgak Duta, kira-kira 8 malam hingga 9 malam, pada 22 Mei 2009, hari sama beliau menghadap Sultan Mizan di Istana Terengganu, di sini.

Saksi berusia 49 tahun itu berkata demikian semasa disoal balas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, pada hari ke-19 perbicaraan kes dana 1MDB yang dihadapi Najib.

Muhammad Shafee: Adakah Datuk Seri Najib kelihatan kecewa berikutan hakikat bahawa Sultan Mizan murka?

Shahrol Azral: Air muka beliau (Najib) adalah selamba. Saya tidak ingat sebarang kekecewaan.

Dalam pernyataan saksinya sebelum ini, Shahrol Azral berkata, beliau diminta oleh Sultan Mizan untuk menandatangani resolusi TIA untuk membatalkan pengeluaran bon berkenaan.

Ditanya oleh Muhammad Shafee sama ada ini bermakna Najib ketika itu tidak tahu sebab yang menimbulkan kemurkaan Sultan Mizan, Shahrol Azral menjawab, “Setuju."

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan. - Bernama