Adira nekad cerai, Datuk Red enggan lepas

Adira (kiri) ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini.
Adira (kiri) ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini.
A
A
A

PENYANYI Adira Suhaimi memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Selangor di sini hari ini.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 28, memfailkan permohonan itu pada 1 April lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib menyoal mengenai pendirian Adira berhubung permohonan cerai itu, namun penyanyi kelahiran program realiti TV itu dengan tenang menjawab mahu meneruskan penceraian ini.

Datuk Adnan atau dikenali dengan panggilan Datuk Red ketika disoal Mohd Faizal bagaimanapun membantah permohonan isterinya itu.

Terdahulu, prosiding hari ini ditetapkan untuk pelantikan hakam pegawai mahkamah, namun ditangguhkan.

Ini berikutan selepas peguam syarie Mohd Hafiz Abd Rashid yang mewakili Datuk Red memohon prosiding ditangguhkan kerana anak guamnya membuat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung hakam keluarga.

Mohd Faizal Habib kemudian menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan hakam kes penceraian itu.

Dalam prosiding itu, Adira diwakili peguam syarie Siti Nur Zafirah Mohd Padzil.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, seawal jam 8.30 pagi, wartawan hadir ke mahkamah untuk mengikuti prosiding perceraian, namun kemudian dimaklumkan Adira bahawa permohonan cerai terhadap Adnan akan berjalan jam 3 petang.

Sepatutnya, prosiding permohonan cerai dilakukan Adira pada jam 9 pagi tadi tetapi penyanyi itu meminta untuk mengubah waktu kerana tidak menyangka perkara itu (permohonan cerai) sudah diketahui umum.