Kelayakan Piala Dunia: Wanita Iran dibenarkan masuk ke stadium

Wartawan sukan Iran, Raha Pourbakhsh di hadapan stadium Azadi di ibu negara Tehran. - Foto AFP
Wartawan sukan Iran, Raha Pourbakhsh di hadapan stadium Azadi di ibu negara Tehran. - Foto AFP
A
A
A

TEHRAN - Wanita Iran bebas masuk stadium bola sepak untuk kali pertama dalam beberapa dekad selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengancam untuk menggantung republik Islam itu jika membenarkan penonton lelaki sahaja.

Iran telah menghalang penonton wanita ke stadium bola sepak dan stadium lain selama lebih kurang 40 tahun, dengan para ulama berpendapat bahawa mereka harus dilindungi dari atmosfera maskulin dan penglihatan lelaki.

Badan bola sepak dunia FIFA bulan lepas memerintahkan Iran membenarkan wanita masuk ke stadium tanpa sekatan dan jumlah yang ditentukan oleh permintaan berdasarkan pembelian tiket.

Ia susulan selepas seorang peminat sukan itu yang digelar 'Blue Girl' meninggal dunia selepas membakar dirinya sendiri kerana didakwa akan dipenjara kerana berpakaian sebagai seorang budak lelaki untuk menghadiri perlawanan.

Mendengar berita itu, kalangan wanita negara itu cepat-cepat mendapatkan tiket untuk menghadiri kelayakan Piala Dunia 2022 Iran menentang Kemboja yang dijadualkan di Stadium Azadi Tehran esok.

Kumpulan pertama terjual dalam masa kurang daripada satu jam, dan kerusi tambahan juga disediakan jika diperlukan.

Seorang pegawai kementerian sukan berkata, stadium yang berkapasiti 100,000 bersedia menerima lebih ramai penonton wanita.

Salah seorang daripada 3,500 wanita yang mendapat tiket ialah Raha Poorbakhsh, seorang wartawan bola sepak.

Artikel Berkaitan:

"Saya masih tidak percaya ini akan berlaku kerana selepas bertahun-tahun bekerja di bidang ini, menonton segala-galanya di televisyen, kini saya dapat mengalami segala-galanya secara langsung," katanya kepada AFP.

Bagaimanapun Poorbakhsh berkata, masih ramai wanita yang dijangka bergerak dari di selatan Iran untuk mendapatkan tiket tersebut.

Mereka yang hadir menonton akan dipisahkan daripada lelaki dan turut dikawal oleh 150 pegawai polis wanita, menurut agensi berita Fars.

Raha Pourbakhsh menunjukkan tiket yang dibeli secara online untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 Iran menentang Kemboja yang dijadualkan di Stadium Azadi Tehran esok. - Foto AFP
Raha Pourbakhsh menunjukkan tiket yang dibeli secara online untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 Iran menentang Kemboja yang dijadualkan di Stadium Azadi Tehran esok. - Foto AFP

Sementara orang ramai di Tehran berkata, mereka menyokong keputusan untuk membolehkan wanita hadir ke stadium.

"Saya mahu ada kebebasan untuk wanita, seperti lelaki, untuk pergi bebas dan duduk tanpa sebarang sekatan seperti negara lain," kata seorang wanita yang hanya menyebut namanya sebagai Hasti.

Sahar Khodayari meninggal dunia bulan lalu selepas membakar dirinya di luar mahkamah kerana takut dipenjarakan akibat menghadiri perlawanan bola sepak.

'Gadis biru' mewakili warna kelab yang disokongnya, Esteghlal FC, dilaporkan telah ditahan tahun lalu apabila cuba memasuki stadium kerana berpakaian sebagai seorang lelaki.

Kematiannya mencetuskan bantahan dengan ramai yang menyeru FIFA untuk mengharamkan Iran dan peminat memboikot pertandingan.

Menjelang Qatar 2022, Iran telah mengalami tekanan dari FIFA agar membolehkan para wanita menghadiri kelayakan Piala Dunia ini.

Larangan terhadap wanita di stadium tidak tertulis dalam undang-undang atau peraturan tetapi ia telah dikuatkuasakan secara ketat.- AFP