'Siling masjid runtuh tiba-tiba'

Keadaan siling masjid yang berlumut dan bocor selain menunggu masa untuk runtuh. Gambar bawah: Struktur bangunan masjid As-Sakinah Kampung Baru di Kuala Sungai Baru yang dimakan anai-anai.
A
A

ALOR GAJAH - Masjid As-Sakinah Kampung Baru, Kuala Sungai Baru di sini yang berusia 100 tahun semakin uzur dan kelmarin silingnya tiba-tiba runtuh mencetuskan kebimbangan jemaah.

Pengerusinya, Yussaini Ms Yusof berkata, tiang di bahagian tengah masjid itu turut rosak akibat diserang anai-anai.

"Kelmarin sebelum solat Subuh siling runtuh secara tiba-tiba dan nasib baik bukan berlaku pada solat Jumaat kerana jemaah ramai.

"Kita juga telah memanjangkan masalah itu kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga dimaklumkan mahu membuat pemeriksaan struktur bangunan masjid ini namun belum berbuat demikian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Imam Satu masjid berkenaan, Baharom Md Sohor berkata, beliau juga bimbang dengan keadaan yang berlaku namun pengurusan masjid tetap meneruskan program-program termasuk kelas agama bagi membolehkan penduduk mengimarahkan masjid.

Menurutnya, walaupun terdapat kekurangan berhubung keselamatan jemaah termasuk kerosakan siling di bilik azan namun ia tidak mematahkan semangat untuk menyediakan majlis ilmu kepada orang ramai.

"Masjid yang telah berusia itu masih lagi didatangi jemaah setiap kali solat fardu dan jumlah jemaah akan lebih ramai setiap kali solat Jumaat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat yang dihubungi berkata, beliau akan membuat semakan terlebih dahulu berhubung isu itu.