Dua saksi pakar inkues Adib akan dipanggil bantu siasatan

A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil dua saksi pakar yang memberi keterangan dalam inkues kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim bagi membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, dua pakar itu adalah pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ir. Dr. Amir Radzi Ab. Ghani dan bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid.

"Selain dua pakar itu, seorang saksi akan tampil hari ini untuk dirakam keterangan bagi membantu polis menyiasat kes kematian Muhammad Adib," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Dalam perkembangan sama, Huzir memaklumkan terdapat tiga insiden utama yang berlaku pada 26 dan 27 November tahun lalu iaitu sekumpulan lelaki menceroboh kuil, insiden kedua adalah sekumpulan lelaki telah menyerang dua buah kenderaan bomba dan insiden ketiga, sekumpulan lelaki telah merusuh di Menara MCT, USJ 25, Putra Height.

Beliau berkata, polis telah menerima 5,178 laporan di seluruh negara berhubung tiga insiden itu.

Menurutnya, sebanyak 69 kertas siasatan telah dibuka merangkumi pelbagai kesalahan termasuk kes anggota bomba dan penyelamat yang telah meninggal dunia.

“Daripada siasatan kes berkenaan, 108 orang telah ditangkap dan seramai 26 telah dituduh di mahkamah berkaitan tujuh kertas siasatan.

"Daripada tujuh kertas siasatan itu, terdapat beberapa kes yang orang kena tuduh telah mengaku salah dan beberapa kes masih dalam perbicaraan.

“Antara tiga kes orang kena tuduh mengaku salah dan telah dijatuhkan hukuman adalah kes menghalang penjawat awam di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, hukuman denda RM3,500.

"Kes enggan bersurai dalam perhimpunan di bawah Seksyen 151 Kanun Keseksaan, hukuman penjara dua bulan dan kes khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, hukuman denda RM 4,000,” katanya.

Beliau berkata, baki 62 kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya, 50 kertas siasatan tiada tindakan seterusnya, manakala 12 kertas siasatan masih lagi dalam tindakan.

“12 kertas siasatan itu termasuk kertas siasatan yang melibatkan kematian anggota Bomba dan Penyelamat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pada mulanya siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan apabila mangsa meninggal dunia kertas siasatan telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Huzir berkata, seramai 61 saksi termasuk saksi awam yang dikatakan berada di lokasi kejadian, doktor, polis, jururawat dan lain-lain telah ditemubual oleh polis bersabit kes 307 Kanun Keseksaan.

“Sejumlah 12 orang telah ditangkap yang dikaitkan dengan kes ini, enam orang adalah mereka yang berada di tempat kejadian manakala enam orang lagi adalah daripada tangkapan rusuhan di menara MCT.

“Oleh kerana kedua-dua lokasi ini berhampiran, kita telah menahan kesemuanya di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan. Hasil siasatan mendapati 12 orang ini tidak terlibat dalam kes 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, isu yang dikaitkan dengan Allahyarham Muhammad Adib adalah empat suspek yang terlibat dalam kes tangkapan awal di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Empat suspek tersebut adalah daripada enam orang yang ditangkap di lokasi kejadian insiden merusuh Menara MCT dan disiasat di bawah Seksyen 147/427 dan 447 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, salah faham berhubung empat suspek yang dibebaskan dalam kematian Muhammad Adib sebelum ini adalah disebabkan kekeliruan dalam laporan beberapa media tempatan.

“Sebagai contoh terdapat dua tajuk laporan media pada tarikh 10 Disember tahun lalu, salah satunya melaporkan bahawa ‘empat suspek yang disyaki menyerang Adib dibebaskan daripada reman’, sebuah lagi media melaporkan ‘empat suspek pukul Muhammad Adib bebas dengan bon mahkamah dan jamin polis’,” katanya.

Pada 27 September lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.