Tiada cadangan tubuh RCI siasat kes jual MyKad

Mohamad Azis - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Mohamad Azis - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika ini tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat sindiket pemberian kewarganegaraan melalui kad pengenalan atau Mykad.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Azis Jamman berkata, ini kerana kes tersebut masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sedang dituduh di mahkamah.

"Tiada keperluan untuk (kerajaan) tubuh RCI berasingan bagi menyiasat kes berkenaan (kes penjualan Mykad kepada warga asing).

"Biarkan proses siasatan berjalan. Kalau rasa perlu wujud RCI kita fikirkan.

"Sekarang ini (biar) PDRM buat siasatan terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan RCI bagi menyiasat kes itu.

Mengulas lanjut soalan tambahan Ahmad Jazlan berkenaan jumlah individu yang dibatalkan hak kewarganegaraan berhubung kes itu, Azis berkata, setakat ini 11 orang telah disenarai hitam.

"Sehingga hari ini 11 orang telah disenarai hitam dan proses penyiasatan ini masih kita jalankan.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi kita tidak dapat berikan (maklumat lanjut) sebab proses ini masih dibicarakan," katanya.