Lelaki Thai ditahan kerana kontroversi #royalmotorcade

Karn didakwa melanggar Akta Jenayah Komputer kerana memuat naik 'kandungan tidak sesuai' tersebut. - Foto Bangkok Post
A
A

BANGKOK - Pihak berkuasa di Thailand menahan dan mendakwa seorang lelaki kerana memuat naik 'kandungan tidak sesuai' yang dikatakan mengkritik keluarga diraja.

Penahanan itu dibuat selepas hashtag #royalmotorcade tentang perarakan diraja mencetuskan kesesakan di Bangkok menjadi salah satu isu trending di Twitter.

Bagaimanapun, suspek dikenali sebagai Karn Pongpraphapan, 25, tidak didakwa di bawah undang-undang lese majeste yang menghina raja sebaliknya dia ditahan di bawah undang-undang jenayah siber melibatkan keselamatan negara.

Polis hanya merujuk hashtag #royalmotorcade ketika mengumumkan penangkapan itu.

"Sejak minggu lalu, hashtag tersebut dimulakan di media sosial yang membawa kepada penahanan seorang individu kerana menghasut kebencian," kata Timbalan Ketua Bahagian Penindasan Jenayah Teknologi, Siriwat Deepor tanpa memberi butiran jelas tentang kandungan tersebut.

Difahamkan, Karn didakwa melanggar Akta Jenayah Komputer dan mana-mana individu yang disabit bersalah kerana memuat naik data komputer yang boleh menjejaskan keselamatan negara boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Sementara itu, undang-undang menghina keluarga diraja boleh berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun namun tiada kes baharu lese majeste dilaporkan sejak 2018. - Agensi