Mufti Wilayah Persekutuan

A
A

DALAM menapak ke hadapan pada 2019 ini, sudah semestinya kita mempunyai hasrat, harapan dan cita-cita untuk menambah baik dalam meniti kehidupan.

Islam telah menggariskan beberapa panduan tentang bagaimana seseorang muslim itu membina cita-citanya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad dalam catatan terbaharunya di laman sesawang rasminya bertajuk Membina Cita-Cita Sempena Tahun Baru 2019 telah mengemukakan beberapa cadangan dalam membina cita-cita menurut Islam.

Pertama seseorang itu perlulah membuat keputusan untuk meningkatkan sesuatu tahap yang ingin dicapai.

Kehidupan seseorang boleh berubah sepenuhnya selepas membuat keputusan untuk menaikkan tahap yang ingin dicapai ke peringkat yang lebih tinggi.

Kedua dalam membina cita-cita perlu diiringi bersama tekad dan keazaman yang utuh.

Seperti yang dinyatakan di atas, keazaman dalam meraih cita-cita hendaklah disusun dengan penuh strategi dan pengalaman. Maka insya Allah, sebaik-baik natijah akan digapai.

Ketiga tulis impian dan cita-cita yang ingin dicapai

Jadikan setiap apa yang ingin dicapai dalam bentuk bertulis. Begitu juga semua perkara yang boleh menghalang dan cara mengatasinya. Tulis secara terus menerus setiap perkara yang dibayangkan.

Keempat perlukan beri komitmen sepenuhnya

Menulis impian sahaja masih belum mencukupi. Bulatkan tekad dan beri komitmen sepenuhnya untuk mencapai impian tersebut. Bertindak untuk mengubah strategi jika perlu.

Kelima tetapkan tempoh waktu dalam mencapai cita-cita berkenaan

Dengan hanya bercita-cita sahaja untuk menggapai dan mencapai sesuatu matlamat, namun tidak diberikan tempoh dan had masa untuk mencapainya, ia biasanya tidak tercapai. Kalau tercapai sekalipun, ia akan mengambil sejumlah masa yang besar.

Keenam bersahabatlah dengan orang yang berjaya meraih cita-cita

Ini kerana sahabat menjadi cerminan kejayaan seseorang. Sejarah membuktikan orang yang berjaya biasanya mempunyai rakan-rakan yang telah berjaya.

Dengan sebab itu gandingan antara yang berjaya dengan yang berjaya menghasilkan kejayaan yang lumayan dan berganda. Justeru, pilihlah rakan-rakan yang telah berjaya dan bukannya yang kecewa dan gagal dalam kehidupan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia