Anwar simpati nasib kakitangan Utusan Malaysia

Anwar menzahirkan rasa simpatinya menerusi Twitter hari ini.
Anwar menzahirkan rasa simpatinya menerusi Twitter hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Penutupan operasi syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berkuat kuasa hari ini turut mengundang rasa simpati Presiden Parti Keadilan Rakyat (PRK), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan nasib yang menimpa pekerja dan staf syarikat berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menzahirkan rasa simpati menerusi akaun Twitter rasminya pada jam 12.17 tengah hari tadi.

“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa pekerja dan staf Utusan Melayu.

“Semoga ada pihak media yang lain yang sudi menempatkan mereka di agensi-agensi mereka supaya pekerja-pekerja Utusan Melayu ini dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Sehingga jam 1 petang, status itu telah diulang kicau sebanyak 39 selain memperoleh 94 tanda suka.

Untuk rekod syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad hari ini mengesahkan penghentian operasi berkuat kuasa hari ini dan perkara itu dinyatakan dalam satu memorandum pekeliling ditandatangani Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).

Langkah sedemikian terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa syarikat itu tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan dan akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tarikh akhir bekerja telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019 manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019.

Sementara itu pada Ogos lalu Anwar ketika minta mengulas situasi melanda semasa syarikat penerbitan akhbar berbahasa Melayu tertua di Malaysia, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berpendapat akhbar itu wajar diselamatkan kerana jasanya melaporkan lipatan sejarah dan perkembangan pendidikan negara sejak dahulu lagi.

Katanya, Utusan adalah akhbar yang sangat sinonim dengan sejarah negara dan tidak boleh nafikan jasanya sebagai medium pendidikan selain satu pendekatan menghormati hak para pekerjanya perlu diambil.